,

Cerpen: Aku, Atef Dan Nil (bahagian 3-akhir)

Sebelum tidur,  Atef memasang televisyen. Siaran cerita klasik Arab Mesir yang ditayangkan sangat mencuit hati.

Kami ketawa berdekah-dekah dan terbahak-bahak hingga bergema ke langit yang ke-tujuh. Tiada siapa yang menghiraukan derai gelak tawa kami.

“Apa pengalaman paling pahit sepanjang kamu berada di Mesir?” Kali ini giliran Atef pula menjolok diskusi hangat.

“Saya masih ingat saat saya disamun oleh sekumpulan Arab di Hayyu Asyir. Subuh itu saya keluar dari rumah Ustaz Firdaus. Pasar-pasar masih belum buka dan saya langsung tak sedar bila ada seorang lelaki bertopi datang dari belakang lalu mencengkam beg saya. Saya tersentak dan cuba merampas kembali tetapi seorang kawannya yang lain menyerang saya dengan sebilah parang dari belakang.”

“Seterusnya apa yang berlaku?” Atef terpana seperti diterkam ombak ganas.

“Jadi saya cedera teruk dan tewas dalam pergelutan. Lihat parut ini.” Fajar bangun dari tikar pembaringan dan menyelak baju sejuk yang dipinjam dari Atef.

“Moga Allah pelihara kamu dan menggantikan apa yang hilang dengan sesuatu yang lebih baik.”

Dinihari di pelembahan danau Qarun itu, aku duduk bersila menekuni lembaran Al-Quran pemberian Medina, menghafaz kembali surah Al-Fajr sebagai persediaan menjadi imam Maghrib di masjid kampung ini. Atef bersedia mendengar tasmi’ bacaanku.

Dari beberapa meter, dua orang pegawai polis bertubuh sasa hadir ke pondok kami berada dan menyentuh bahuku.

Riak panik mulai menggetar di gigi air muka aku dan Atef. Seorang daripadanya meminta aku memberi penerangan tentang dokumen peribadi.

Namun, aku gagal mengemukakan pasportku dan kemungkinan akan ditahan di atas dakwaan pendatang asing.

“Tolong jangan bawa sahabat saya ke penjara. Dia seorang Al-Azhari.” Atef merayu dan mencarik-carik baju pegawai polis yang sedang menggari tanganku.

Atef kemudian digasak sehingga tersungkur. Aku terkemam sejeda.

“FAJARRRRRRR.”

Aku terbangun dari mimpi. Kesejukan. Masih terngiang-ngiang suara Atef yang melaungkan namaku.

Di kamar penjara, bau tengik dan hanyir menyinggahi rongga hidungku. Dalam keadaan suram itu, aku meraba-raba mencari Al-Quran yang diberikan oleh Medina.

Setelah bertayamum, aku menyambung bacaan. Malam ini sepatutnya aku akan mengimamkan solat di Masjid Beni Suef.

Akulah yang dungu. Kerana kedegilan, aku menyembunyikan pengetahuan daripada Atef yang pasportku telah hilang ketika dirompak dua bulan lalu. Aku minta maaf Atef.

Dua minggu aku bersuluk di dalam kurungan besi, Al-Quran menjadi penemanku sepanjang masa. Aku berjaya menghafaz satu per tiga dari juzuk Al-Quran.

Kawan baikku, Ustaz Firdaus sudah termengah-mengah menanti di depan pejabat polis.

“Aku sudah memberi tahu pada keluarga kamu. Awak perlu pulang ke Malaysia untuk membuat pasport baru.”

Di rumah, Atef sudah tiada. Barangnya pun sudah dikemaskan. Aku cuba menghubunginya untuk memberitahu yang aku sudah banyak menghafaz Al-Quran dan bertekad akan menghabiskannya.

Tetapi segalanya hambar. Perlahan-lahan air mataku menitik dan turun membanjiri pipiku. Aku juga mendengar bahawa dia sudah berhenti belajar.

Adakah disebabkan tak mampu menanggung rasa serba salah di atas penangkapanku?

SEMBILAN tahun berlalu pantas. Fajar telah berjaya menjadi seorang pensyarah bahasa Arab di tanah air tercinta.

Minggu ini dia mempunyai tugasan di Mesir dan berhasrat untuk menjenguk Atef di Beni Suef.

Khabar orang kampung, dia kini bekerja sebagai guru agama dan membangunkan sekolah Tahfiz Al-Fajr. Beliau juga telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata.

Tak pernah aku menjumpai seorang pemuda Arab Mesir setulusnya. Dagunya kini sudah berjambang kemas saat aku menemuinya di hadapan Sungai Nil.

Kami berpelukan dan aku memberitahunya bahawa aku sudah berjaya menghafaz seluruh juzuk al-Quran. Mudahan aku menjadi al-Hafiz di dunia dan di akhirat.

 

 – Anugerah Saguhati Pertandingan Menulis Cerpen Oh My Egypt 2016 –

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Fajrul Islam bin Baharudin. Berasal dari Ipoh, Perak. Seorang pelajar Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Minat menulis karya eceran dan karya sastera estetika. Koleksi penulisannya boleh didapati di www.tarbiahqalbu.wordpress.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%