,

Cerpen: Aku, Atef Dan Nil (bahagian 1)

SERASA ada ramuan indah yang tersukat di sebalik kenangan ini. Persahabatan kita berdua begitu aneh seperti Nil yang panjang dan berliku bukan?

Namanya  Atef Mostafa – teruna berbangsa Arab Mesir, berwajah mulus bercahaya, rambut berambut kerinting menawan, berkulit merah-kemerahan, dan bermata keperang-perangan.

Kami berbeza mazhab, perwatakan dan seluruh sudut. Tetapi hati nubari kami begitu serasi.

Kami bertemu di hari pertama kuliah Qiraat Al-Quran di Shoubra. Dia tahu aku sangat lemah dalam banyak hal terutama bertutur.

Atas kasad dan matlamat untuk mendalami pembacaan Al-Quran dan bertukar-tukar budaya, kami akhirnya bercadang untuk menyewa bilik bersama di sebuah apartmen berdekatan.

Kami menyusuri Nil hingga ke pelabuhannya,
airnya yang abadi tampak tersenyum,
tukang perahu berkulit gelap bernyanyi lirih,
perahu layar merentangkan sayapnya,
kami menangkap angin dan berlayar jauh,
sepanjang hari hingga fajar hingga ke Timur,
di mana kehidupan pagi dan kebenaran lahir dengan suka-cita.

Along the Nile by: Henry Abbey (1842-1911)

Malam tika manusia tenggelam dalam pesona mimpi, seusai bacaaan puisi, Fajar melandaikan tubuh di atas katil empuk.

Menyelimuti setiap juzuk badan dengan saratoga (selimut tebal) bercorak birah pelepah kurma.

“Sudah mahu tidur?” Soal Atef seraya menyilangkan kaki di kerusi belajar.

Halkumnya tampak turun naik saat menutur bahasa Arab baku dengan jelas. Dia menutup buku Sejarah Empayar Al-Ayyubiah. Kemudian merebahkan diri di katil bersebelahan Fajar.

“Atef, ceritalah memori yang paling manis dalam hidup kamu.”

Fajar memiringkan tubuh ke kanan, bertentang mata dan menangkap perhatian rakan sebiliknya itu. Sudah lama mereka tidak beromong panjang.

“Yalah! Pada usia 5 tahun lampau, saya pernah menjadi juara dalam pertandingan hafazan Al-Quran di kampung saya di daerah Bani Suef,” bicara Atef.

“Hebatnya. Boleh saya tahu rahsia kamu menghafaz?

“Rahsia saya menghafal adalah berguru dengan datuk saya. Dia mengajar saya membaca dan mempelajari hukum-hukum yang terkandung dalam al-Quran di kampung,” tambah Atef.

“Oh begitu. Kampung kamu pasti indah. Nanti kamu bawalah saya ke sana.”

Mesyi (baik).” Atef mengorak senyuman. Lesung pipit jelas terpamer.

BURUNG-BURUNG angkasa mengepak tinggi membentari dada langit. Terpaan bayu tipis menguasai suasana daerah Beni Suef.

Berbeda dengan keadaan Bandar Kaherah yang hiruk pikuk dengan bunyi bising; deruan bas, gerusan enjin, dan bunyi hon.

Beni Suef terletak 115KM ke Selatan Kaherah. Kampung yang terkenal dengan Tasik Qarun dan Oasis Fayyum ini adalah pusat pertanian yang berkembang dari kampung-kampung kecil menjadi satu daerah yang luas.

Kawasan ini terkenal dengan kawasan pengeluaran kapas dan industri membuat permaidani.

Dalam kereta api cabuk, aku memandang ke luar jendela dan desah rasaku mulai mengapung kembali.

Suara kawan-kawanku di Malaysia masih terawang-awang dalam rakaman memori. Membuatku kelu dan bungkam seribu.

“Fajar, kau yakin ke dapat survive di Mesir nanti. Mak aku pernah melancong ke Mesir sebelum ini dan dia kata orang Arab Mesir ni kencing merata-rata. Belum lagi kes curi dan penipuan. Belajar di Malaysia sahajalah.”

“Aku datang Mesir, bukan sebab nak melancong dan berseronok. Tapi Mesir adalah bumi para Nabi, para ulama. Aku nak belajar bahasa Arab dan mengutip ilmu sebanyak-banyaknya. Tak kisah betapa sukar dan celaru pun kondisinya,” seteruku. Kawan-kawanku terus terdiam.

 

> Sambung Cerpen: Aku, Atef Dan Nil (bahagian 2) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Fajrul Islam bin Baharudin. Berasal dari Ipoh, Perak. Seorang pelajar Akidah dan Falsafah di Universiti Al-Azhar, Mesir. Minat menulis karya eceran dan karya sastera estetika. Koleksi penulisannya boleh didapati di www.tarbiahqalbu.wordpress.com

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%