,

Bolehkah Kita Cemburu?

Cemburu dalam bahasa Arab dinamakan “ghirah”, sifat semulajadi atau fitrah dan wujud untuk melindungi.

Dalam kamus pula bermaksud perasaan iri hati, kurang percaya atau syak wasangka (terhadap seseorang berkaitan haknya).

Cemburu juga boleh menjadi sangat terpuji apabila kita perlu mempertahankan sesuatu yang berkaitan diri kita dalam menjaga batasan agama, keluarga dan kehormatan diri mahupun hak orang lain.

Cemburu yang dibolehkan

  • Cemburu yang bersifat saling menjaga antara ahli keluarga kerana Allah.
  • Cemburu kepada mereka yang ada harta dan dia menghabiskan ke jalan yang diredhai.
  • Cemburu kepada mereka yang ada ilmu, beramal dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Tidak ada hasad (cemburu) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang; iaitu pada orang yang Allah SWT berikan harta, dia menghabiskannya dalam kebaikan. Dan pada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Cemburu dalam hubungan suami isteri

Perlu ada untuk menjaga kehormatan dan hak pasangan. Namun harus berbatas dan tidak memudaratkan.

Biarlah kita cemburu atas sebab yang betul dan tindakan kita tidak mengaibkan pasangan. Jangan melampaui batas.

Contohnya elakkan dengan memarahi pasangan yang lewat pulang bekerja sedangkan mungkin mereka ada alasan munasabah apatah lagi ketika itu mereka pun keletihan.

Namun, jika kita sedar telah cemburu berlebihan dan menzalimi orang lain, bertanggungjawablah.

Belajarlah bagaimana Rasulullah SAW yang bersabar dan berhikmah dalam menangani rasa cemburu isterinya.

Penuh kasih sayang dan terhormat.

Cemburu yang tercela

  • Cemburu yang melibatkan kezaliman. Elaklah terlalu keterlaluan sehingga menyusahkan orang lain.
  • Cemburu membuta tuli sehingga tidak mahu mendengar penjelasan dan enggan menerima kebenaran. Kita sewajarnya perlu teliti dan telus dalam melihat sesuatu perkara.

Nabi juga cemburu

Saad bin Ubadah berkata, “Jika aku dapati seorang lelaki bersama isteriku pasti aku akan menebaskan dengan pedang tanpa belas!” Lalu Nabi bersabda: “Adakah kamu kagum dengan sikap cemburu Saad? Sungguh aku lebih cemburu daripadanya. Dan Allah lebih cemburu daripada aku!” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Allah paling cemburu

“Sesungguhnya Allah juga cemburu. Allah cemburu apabila seorang mukmin melakukan apa yang Allah haramkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Elakkanlah daripada melakukan perbuatan maksiat dan tidak disukai Allah.

Biarlah berpada-pada

Cemburu tidak salah, cemburu perlu ada dalam hati kita semua untuk menjaga apa yang perlu dijaga, namun berhati-hati dan bersederhanalah.

Dalam bab rezeki pula, semua rezeki kita telah ditentukan. Kita cuma perlu berusaha lebih dan jangan lupa berdoa.

Moga kesan tindakan terhadap rasa cemburu kita nanti tidak membuatkan kita kesal di kemudian hari.

“…Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun, lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hasy-r ayat 10).

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%