,

Masa Lalu Yang Tidak Akan Kembali Lagi

Yang berharga itu, masa

Pepatah Melayu mengatakan, masa itu emas. Kita diajar bahawa masa itu tersangat berharga dan tak ternilai.

Andai Tuhan mengurniakan masa kepada hambaNya dalam bentuk emas dan permata, sudah tentu kita tidak akan pernah membuangnya walau sebutir pun.

Mereka yang sangat beruntung ialah mereka yang berjaya memanfaatkan segenap saat dari masa-masa hidupnya.

Sebaliknya, mereka yang hanya mensia-siakan masa ibarat membuang emas permata dari kehidupan mereka.

Tercantas, atau mencantas, dengan pedang masa

Masa itu ibarat pedang, kata bidalan Arab. Pedang tak bermata, tanpa belas mencantas mangsanya.

Kitalah itu, yang sedang bermain dengan pedang dalam kehidupan ini. Sama ada mahu atau tidak, sama ada mahir atau tidak.

Kita sendiri yang akan berusaha untuk memahirkan diri dalam menguruskan masa. Yang handal dan mahir bermain pedang, akan sentiasa cermat mencantas.

Namun awas, yang jelas jika culas, diri sendiri akan tercantas.

Yang paling jauh itu, masa silam yang takkan kembali

Seperti mana kata Imam Ghazali, yang paling jauh itu, masa silam yang takkan kembali. Seburuk apa pun masa silam yang dilalui, takkan dapat diputar kembali dan diperbaiki.

Seindah mana pun masa muda yang telah kita jalani, takkan pernah dapat diulangi buat kedua kali. Yang buruk itu, bakal menjadi iktibar buat masa mendatang.

Yang indah itu, pastinya untuk disyukuri sebagai kenangan buat masa hadapan. Yang pasti hari ini, lakarkan sesuatu yang bermakna agar tiada penyesalan di kemudian hari.

Sesuatu yang tidak pernah berhenti itu – masa

Masa akan sentiasa bergerak. Dari saat ke minit. Dari minit ke jam. Hari ke minggu. Minggu ke bulan dan memakan tahun.

Dari masa, kita tahu umur kita kian mengganda. Dari umur yang mengganda, kita tahu kita takkan selamanya muda, bahkan mati sentiasa mengintai kita.

Tanggungjawab itu selalu melebihi masa

Imam Hassan Al-Banna pernah berkata, tanggungjawab yang harus dilaksana lebih banyak dari masa yang ada.

Kerana itu, saban hari harus tetapkan misi dan visi. Biar jelas dan tegas. Sematkan niat kerja untuk ibadat, agar tak terasa beban memberat.

Didik diri, buat kerja jangan bertunda. Kerana yang bertunda itulah yang membuatkan beban berganda.

Sifat Muslim itu – sangat menjaga masa

24 jam, 7 hari seminggu itu sejak azali lagi sudah cukup Tuhan agihkan sama rata. Hanya kita yang perlu bijak menguruskan, bukan hanya tahu mengeluh saat terasa masa yang kesempitan.

Bila berkumandang azan, tunaikan solat perlu disegerakan. Bila diberi tugas, tepat waktu disempurnakan.

Bila menjadi murid, hadir ke kelas sebelum guru tiba. Bila menjadi pekerja, ketepatan masa sentiasa dijaga.

Bila masa sentiasa dijaga tanpa lewa, tiada dalih bakal tercipta. Tiada alasan, bahkan tiada penipuan untuk menutup kesilapan.

Begitulah salah satu sifat Muslim dalam pesan Imam Al-Banna, sangat menjaga masanya.

Masa silam dan masa hadapan

Tiada insan yang suci tanpa masa silam. Tiada insan yang berdosa tanpa masa hadapan.

Sejarah telah banyak membuktikan bagaimana seseorang yang terlihat jahat berubah menjadi seorang yang bermanfaat buat umat.

Bagaimana seorang Khalid Al-Walid yang cukup melawan agama Allah akhirnya berubah menjadi saifullah (pedang Allah).

Bagaimana seorang Umar Al-Khattab yang hampir membunuh Rasulullah akhirnya lantang berjuang fi sabil lillah.

Sebagaimana kita tidak mahu orang lain menilai masa lalu kita, seeloknya kita hindarkan daripada menghakimi masa silam siapa pun jua.

Kerana setiap daripada kita berhak diberi kesempatan untuk berubah.

Bila Tuhan bersumpah dengan masa

Surah Al-Asr, teguran yang ringkas, namun mesejnya padat dan jelas.

Ayat pertama, Allah bersumpah dengan masa. Kedua, Allah bertegas, manusia benar-benar terancam dengan kerugian.

Namun di ayat ketiga, Allah berikan pengecualian buat 4 peringkat golongan.

Iaitu, orang yang beriman, orang beramal soleh, orang yang berpesan-pesan dan orang yang sabar. Cukup buat muhasabah diri yang terkadang lalai sebelum menghanyut lebih jauh.

Berkata Imam Syafie, “Seandainya setiap manusia mentadabbur surah ini, pastinya hal itu akan mencukupi untuk mereka.” (Tafsir Ibn Kathir 8/499)

 

 Maklumat Penulis

Artikel ini merupakan nukilan Nuna Amin. Nama sebenar, Nur Amalina bt Muhd Amin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%