,

Betapa Hinanya Aku Kerana Selalu Bersangka Buruk Terhadapnya

Tahun 2012. Aku ialah seorang pelajar tingkatan 5 dan sedang mendokong jawatan sebagai penolong ketua pelajar.

Oleh kerana ada jawatan dan air muka yang perlu aku jaga, aku kurang berkawan dengan pelajar-pelajar kelas lain terutamanya para pelajar lelaki kelas vokasional.

Tetapi, coretan ini bukan tentang aku, tetapi tentang Syafiq.

Siapakah Syafiq? Setahu aku, dia  seorang pelajar nakal dan mat rempit semata. Setiap hari selepas habis sahaja persekolahan, Syafiq dan gengnya akan merempit depan sekolah.

Segala aksi ditayangkan di depan sekolah, ‘Superman’, ‘ Spiderman’, dan Kluangman, semua ada.

Aku dan kawan-kawan yang lain akan menggelengkan kepala melihat gelagat mereka, dan kadang-kadang, apabila telinga sudah panas mendengar ‘jeritan’ enjin motor-motor mereka, bermacam tohmahan akan kami berikan dan aku rasa tidak manis untuk dikongsikan di sini.

Suatu hari, Cikgu Shima membuat pengumuman bahawa sekolah ada mengadakan bulan Bahasa Inggeris dan beliau juga mengarahkan agar pelajar Tingkatan 5 membuat persembahan satu sketsa bahasa Inggeris pada perasmian penutup hujung bulan nanti.

Aku mula mengeluh apabila mendapat berita tersebut, mana mungkin aku dapat bekerjasama dengan pelajar-pelajar kelas belakang, bagi aku mereka tidak komited untuk menerima tugasan tersebut.

“Budak-budak nakal kot, tak kan nak berlakon, lagi-lagi dengan kita.” Aku berleter sambil mencebikkan bibir.

Tetapi sangkaan aku meleset sama sekali, ada beberapa pelajar kelas vokasional yang akan turut menyertai sketsa tersebut bersama aku dan beberapa kawan sekelas aku yang  lain.

Perjumpaan kami yang pertama, kami buat dalam Bilik Operasi Bahasa. Sampai sahaja aku di bilik tersebut, Syafiq menyapa aku.

Aku terus senyum tak ikhlas, dalam hati aku sudah mula memikirkan bahawa pertemuan hari ini hanya akan sia-sia, kerana mereka semua susah mahu dibawa berunding, itu setahu akulah.

Apabila kami mula berbincang tentang tajuk sketsa dan watak-watak yang akan kami lakonkan, aku mula tersedar, mudahnya bekerja dengan mereka, lagi-lagi dengan si Syafiq, dia selalu buat lawak, walaupun kadang-kadang hambar, kami tetap ketawa.

Setelah dua minggu kami bersama-sama berlatih, aku lebih mengenali siapa si Syafiq ini sebenarnya, orangnya boleh dibuat kawan, menghormati orang dan juga tidak pernah pula menyakitkan hati aku.

Aku mula muhasabah diri aku, apa yang aku tahu tidak semestinya betul kerana aku hanya sekadar mengetahui, bukannya mengenali.

Sedihnya, sketsa kami tidak dapat kami lakonkan kerana ada beberapa perubahan aktiviti oleh cikgu.

Jadi, aku, Syafiq dan kawan-kawan yang lain tidak akan berjumpa lagi selepas itu, selain hanya berselisih bahu. Walaupun aku tidak rapat dengan mereka, kami tetap bertegur sapa.

Sebulan sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Semasa perhimpunan, aku perasan bahawa Syafiq tidak hadir pada hari itu, kerana dia tidak pernah pula ponteng sekolah.

Tiba-tiba cikgu Anuar membuat satu pengumuman yang mengejutkan,

“ Kamu semua, cikgu nak minta kamu doakan Syafiq Tingkatan 5 MPV.. Dia sedang tenat sekarang, dia kemalangan,dan kecederaannya sungguh parah. Tulang rusuk, tulang belakang dan kakinya patah.” Cikgu terdiam, mukanya berubah.

“Kita sama-sama adakan solat hajat untuk dia zohor nanti.” Sambungnya selepas terjeda.

Aku terpaku dan aku terus berdoa agar Allah mengurangkan kesakitannya dan ambillah dia jika itu yang terbaik buat Syafiq.

“Usah ditanggung lagi kesakitan itu wahai Syafiq.”  Aku berbisik.

Keesokan harinya, cikgu membuat pengumuman bahawa Syafiq sudah pergi meninggalkan kami. Aku menangis, begitu juga kawan-kawan yang lain.

Semoga engkau bahagia di sana kawan. Dalam minggu yang sama juga, aku ada mendengar kawan-kawan dan guru-guru bercerita tentang Syafiq.

Rupa-rupanya, dia adalah seorang abang sulung yang amat bertanggungjawab dan baik terhadap ibu dan adik-adiknya. Adik-adiknya mengalami kemurungan kerana tidak dapat menerima kepergian abang mereka. Betapa sayangnya mereka terhadap arwah.

Baru aku tahu, betapa hinanya aku kerana menyangka buruk terhadapnya sebelum aku betul-betul mengenali dirinya.

Aku yang kononnya baik sebenarnya hanya menunjuk keangkuhan diri sendiri, tetapi tidak bagi Syafiq.

Terima kasih kerana menyedarkan aku apa erti mengenali seseorang. Aku akan sentisasa mendoakan agar dirimu sentiasa di dalam keredhaanNya. Insha Allah.

Al- Fatihah buat Syafiq (1995-2012).

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Wahidah binti Rosmizam. Berasal dari Kemaman, Terengganu. Sedang menuntut di UIA Gombak dalam bidang Bahasa Inggeris untuk Komunikasi Antarabangsa.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

7 points
Upvote Downvote

Total votes: 17

Upvotes: 12

Upvotes percentage: 70.588235%

Downvotes: 5

Downvotes percentage: 29.411765%