,

Bersyukur Walau Di Saat Susah Mahupun Senang

Syukur… satu perkataan yang sering didengar dalam hidup kita. Satu perkataan yang ringkas tetapi mempunyai maksud yang unik dan padat dengan isi tersirat di sebaliknya.

Mari kita hayati bait-bait lirik dalam lagu Erti Syukur, UNIC.

Kerana ku manusia
Lemah dan tidak berdaya di sisiMu
Seringkali terlupa nikmatMu
Datang tiada jemu
Bila terhimpit mulalah
Mencari dan menyebut namaMu
Barulah merasai makna sebenar erti syukur
Syukur atas rahmatMu

Berapa kali kita melihat diri kita di cermin dalam sehari? Tentu banyak kali, kan?

Apa yang kita lihat apabila berada di hadapan cermin? Tentu untuk lihat kekemasan diri kita, kan?

Pernah tak kita menangis atau memuji Allah apabila melihat diri kita di hadapan cermin? Kalau ada pun, tentu segelintir yang bersyukur seperti firman Allah Taala:

“… Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati, (tetapi) amat sedikit kamu bersyukur.” (As-Sajadah: 9)

Allah SWT Maha Kaya dalam setiap pemberian kepada hambaNya. Allah SWT tidak berhajat tetapi kita sebagai hamba benar-benar berhajat kepada Allah.

Kalau nak disebut satu persatu nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, tentu tak terkira kerana terlalu banyak nikmat tersebut.

Tidak kira sama ada nikmat yang dapat dilihat dengan mata kasar seperti masih hidup hingga hari ini, ada keluarga, ada tempat berlindung, ada makan minum dan sebagainya.

Malah, termasuk juga nikmat yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti ketenangan hidup, kelapangan masa, kebijaksanaan dan banyak lagi.

Tapi sayangnya, kita masih lagi tidak perasan dan sering kali lupa untuk bersyukur.

Mari kita fahami dengan analogi yang mudah. Apabila kita dalam kesusahan, tiba-tiba dibantu oleh orang lain untuk menyelesaikannya. Secara tidak langsung, kita mengucapkan dua patah kata iaitu terima kasih kepada individu itu.

Ini bermakna berterima kasih kepada orang yang menolong kita sebenarnya sama seperti bersyukur kepada Allah Taala.

Hal ini kerana Allah yang membuka hati dan menggerakkan individu itu untuk membantu kita.

Jika kita sukar untuk mengucapkan terima kasih, ia sama seperti kita tidak bersyukur kepada Allah SWT.

Allahu Ya Rahman Ya Rahim, Maha Suci Allah yang memberi rezeki dan nikmat kepada hambaNya. Allah SWT memberi peringatan kepada kita menerusi firmanNya:

“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmatKu kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu amat keras.” (Ibrahim : 7)

Allah SWT berhak memberi nikmatNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Begitu juga Allah SWT berhak untuk menarik kembali nikmatNya pada sesiapa dan bila-bila masa yang dikehendaki.

Bayangkan kaki yang boleh berjalan tiba-tiba patah kerana mengalami kemalangan. Mata yang boleh melihat tiba-tiba menjadi buta. Badan yang selama ini sihat untuk bergerak ke sana ke sini tiba-tiba terlantar sakit.

Begitu juga dengan kesenangan hidup tiba-tiba berubah kepada kesempitan, masa yang lapang tiba-tiba menjadi sangat suntuk dan sebagainya.

Kerana itulah kita harus bersyukur dan menzahirkan kesyukuran kita kepada Allah dengan mengucapkan ALHAMDULILLAH dan melaksanakan segala perintahNya.

Apa yang selalu kita anggap bahawa nikmat itu seperti kekayaan, pangkat, kejayaan dan sebagainya.

Tetapi, mungkin kita lupa dan tidak perasan bahawa apabila Allah SWT menghindarkan kita daripada suatu musibah pun merupakan satu nikmat yang sangat berharga.

Apa yang kita nampak, apabila tiada yang bertambah pada diri kita mahupun diuji dalam kehidupan, kita berasa sedih dan menyalahkan orang sekeliling malah menyalahkan Allah Taala kerana menguji kita sedemikian.

Kenapa kita perlu menyalahkan takdir?

Kita perlulah sentiasa bersyukur walaupun dalam kesusahan. Ingatlah Allah dan sentiasa bersyukur kepadaNya tika senang mahupun susah.

Bersyukurlah di saat susah dan senang kerana hakikatnya Allah tidak pernah membiarkan hambaNya berada dalam kepayahan selama-lamanya.

Semoga kita menjadi seorang insan yang sentiasa bersyukur kepada Allah dan bersungguh-sungguh untuk menjadi ahli syurga.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Amirul Ikmal Bin Zainal Abidin. Berasal dari Johor. Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

6 points
Upvote Downvote

Total votes: 6

Upvotes: 6

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%