,

Bergurulah Dalam Menuntut Ilmu

Alam siber yang serba canggih ini memudahkan kita untuk mencari maklumat dalam sesuatu bidang.

Sebut sahaja kata kuncinya, taip di carian, klik dan tersenarai bermacam jawapan serta maklumat yang kita perlukan.

Tapi, wajarkah kita menjadikan carian ini sumber utama kita dalam kita menuntut ilmu?

Displin mempelajari ilmu itu memerlukan si penuntut ilmu mengetahui asas dan panduan dalam bidang yang dipelajarinya.

Seseorang yang meneroka maklumat di internet tentang bidang kedoktoran atau kejuruteraan tidak mungkin diiktiraf sebagai doktor dan jurutera.

Dengan melayari internet, meng’google‘, mengklik di Wikipedia atau menekuni YouTube tidak menjadikan kita pakar dalam bidang tersebut.

Bagi mereka yang memang telah berada dalam bidang itu, melayari internet merupakan kelebihan dalam menambah ilmu pengetahuan.

Internet bukan sumber asas dan utama untuk menguasai ilmu serta kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.

Begitulah juga halnya dalam bidang ilmu agama.

Kita tidak mungkin menjadi pakar dalam ilmu agama sekiranya berguru dengan rujukan internet dan melalui bacaan buku semata.

Bayangkan kesannya seseorang itu membahaskan ilmu tafsir, hadis, usul fikah dan cuba membahaskan masalah hukum-hakam atau mensyarahkan nas-nas dalam al-Quran hanya kerana pernah menjumpai perbahasannya di Internet.

Apa yang kita jumpa dan cari di Internet ini hanyalah gerbang maklumat.

Tukarlah maklumat itu kepada ilmu dengan bimbingan guru.

Ilmu yang benar tidak boleh dikuasai melalui jalan pintas. Dengan adanya guru atau tempat rujuk dari kalangan mereka yang mengetahui, ia dapat memastikan ilmu itu benar atau tidak.

Dengan berguru juga tradisi ilmu itu berterusan seperti satu rantai yang bersambung-sambung melalui ulama-ulama lampau yang soleh hinggalah rantaian ilmu itu sampai kepada Rasulullah SAW, di situlah terletaknya keberkatan.

Gunakanlah sebaiknya kemudahan alam siber ini dan jangan jadikan ia sebagai guru utama kita.

Sebaiknya, bertalaqqilah dengan guru yang sebenarnya arif dalam bidang yang kita mahu pelajari.

Akhir kalam, jangan berhenti mempelajari ilmu dan carilah mengikut kaedah dan jalan yang betul.

“Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga. Sesungguhnya para malaikat menghamparkan sayap-sayapnya kepada penuntut ilmu kerana redha dengan apa yang dilakukannya.” (Hadith riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan at-Tarmizi)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Amirah Ishak. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan seorang terapis bekam, penulis dan penterjemah sepenuh masa. Cerpen ‘Rahsia dalam Rahsia’ terpilih untuk dibukukan dalam Siri Antologi Cerpen Negeri (Negeri Perak) terbitan Fufu Terbit. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Amirah  dan Instagram cahaya_nurish.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%