,

Berdoalah Seperti Seorang Anak Kecil

Bismillahirrahmanirrahim…

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah atas segala ni’mat kurniaanNya.

Apabila kita telusuri sirah perjuangan Rasulullah dan para sahabat, maka kita akan berasa diri kita sangat kerdil, sangat kecil dan dalam diri akan wujud pertanyaan seperti:

“Mampukah aku menjadi sehebat mereka?”

“Apa yang aku buat untuk Islam dan saudara seagamaku selama ini?”

“Layakkah aku bersama mereka di akhirat?”

Dan air mata mula mengalir membasahi pipi kerana memikirkan mereka yang begitu hebat dalam agama dan hebat di sisi ALLAH sedangkan aku masih terumbang-ambing dengan masalah dunia yang tidak berkesudahan.

“…dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat ALLAH. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat ALLAH melainkan kaum yang kafir.” [12:87]

Ayat-ayat cinta daripada ALLAH memujuk kita agar jangan bersikap lemah dan jangan berputus asa daripada rahmat ALLAH.

Percayalah, setiap daripada kita mempunyai potensi yang berbeza yang pastinya istimewa di sisi ALLAH.

Kerana itu ALLAH memilih kita sebagai salah seorang hambaNya dan salah seorang umat Nabi Muhammad.

Apakah kita ingat ALLAH suka-suka memilih kita tanpa alasan? Apakah ada ni’mat yang lebih besar daripada itu?

“Maka ni’mat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?” [55:13]

Jangan bersedih saudaraku kerana sebagai hamba ALLAH, ALLAH telah memberi kita senjata khusus untuk menguatkan kita iaitu doa.

Rasulullah adalah contoh teladan kita yang sentiasa berdoa kepada ALLAH walau apa jua keadaan, walau apapun keputusan yang Rasulullah buat, walau apapun masalah Baginda, yang pertama sekali Rasulullah akan meminta dan berdoa kepada ALLAH supaya diberi petunjuk dan kekuatan.

Kita? Mestilah perlu lagi tingkatkan doa kerana siapalah kita jika dibandingkan insan mulia kekasih ALLAH, Rasulullah SAW.

Saya percaya semua antara kita memang selalu berdoa akan tetapi kesungguhan kita ketika berdoa menentukan sama ada doa kita itu ALLAH terima atau ALLAH tolak.

Cuba kita bayangkan situasi anak-anak di sebuah kedai. Mereka cuba meminta kepada ayah mereka untuk dibelikan mainan:

Situasi anak 10 tahun

ANAK 1 : Ayah, boleh belikan saya mainan?
AYAH : Bukan sekarang.
ANAK 1 : Ok.

Situasi anak 7 tahun

ANAK 2 : Ayah, belikan saya mainan tu?
AYAH : Bukan sekarang.
ANAK 2 : Nanti ayah belikan ya?

Situasi anak 3 tahun

ANAK 3 : Ayah, nak mainan tu?
AYAH : Bukan sekarang.
ANAK 3 : Nak juga… nak juga (sambil menangis, bersungguh-sungguh dan meniarap atas lantai)

Agak-agak anak yang mana akan dapat mainan?

Kita akan menjawab mestilah anak yang berumur 3 tahun. Kenapa? Mungkin kerana dia tidak tahu situasi ayahnya.

Tambahan pula keadaan dia meminta sambil menangis, air mata mencurah-curah, teresak-esak dan penuh kesungguhan meruntun hati seorang ayah yang tidak akan sanggup menghampakan anak kecilnya itu lalu dibelikan mainan untuknya.

Kasih sayang ALLAH jauh lebih besar daripada kasih sayang ayah tersebut.

Oleh itu, kenapa kita tidak boleh meminta kepada ALLAH ibarat si anak kecil 3 tahun meminta kepada ayahnya?

Kenapa kita tidak menangis seperti anak kecil 3 tahun ketika meminta kepada ALLAH?

Kenapa kita tidak boleh teresak-esak di hadapan ALLAH ketika memohon hajat kita diperkenankan ALLAH?

Mana mungkin ALLAH tidak tahu permintaan kita. Mana mungkin ALLAH memandang sepi doa kita dan mana mungkin ALLAH tidak peduli akan tangisan hambaNya yang bersungguh-sungguh kepadaNya.

ALLAH tidak akan sesekali menghampakan kita selagi mana kita bersungguh-sungguh meminta kepadaNya.

“Aku dah banyak berdoa, tapi tak dapat pun.”

“Aku dah lama berdoa, tiap-tiap hari doa yang sama tapi keadaan tak berubah pun.”

Tak akan pernah rugi orang yang berdoa kepada ALLAH kerana ALLAH pasti akan kabulkan selagi mana kita tak berputus asa. Semuanya adalah ‘win-win situation‘.

Apa yang terbaik untuk kita adalah apa yang ALLAH tentukan untuk kita.

ALLAH pasti akan kabulkan doa kita melalui 3 cara iaitu sama ada:

  • ALLAH akan memberikan apa yang kita minta jika itu terbaik untuk kita.
  • ALLAH akan menghalang musibah yang menimpa kita dengan berkat doa kita.
  • ALLAH akan simpan doa kita untuk pahala di akhirat.

Kita bukan tidak dapat apa yang kita minta. Tetapi, kita yang kurang meminta kepada Dia.

Dia Yang Maha Baik dan Maha Dermawan.

Dia ALLAH, Tuhanku dan Tuhanmu.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Asyirah binti Mohd Sauti. Berasal dari Kelantan. Merupakan pelajar ijazah sarjana muda farmasi di UKM.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1). Anda berminat menulis artikel? Klik sini.

What do you think?

6 points
Upvote Downvote

Total votes: 6

Upvotes: 6

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%