,

Berdoalah. Allah Maha Mendengar (bahagian 2-akhir)

Dr Saeed akhirnya menyewa sebuah kereta dan memulakan perjalanan. Di pertengahan jalan, cuaca tiba-tiba berubah dan kilat mulai sabung-menyabung.

Hujan semakin lebat dan membuatkan keadaan sangat sukar dan mustahil untuk meneruskan perjalanan.

Setelah dua jam perjalanan barulah Dr Saeed sedar bahawa dia telah tersalah jalan. Di kiri kanannya gelap tanpa sebiji lampu jalan. Telefonnya sudah kehabisan bateri. Perutnya berbunyi minta diisi.

Setelah beberapa ketika, beliau ternampak sebuah pondok kecil dengan cahaya yang malap. Dr Saeed tidak mempunyai pilihan lain melainkan turun dan mengetuk pintu pondok tersebut.

Seorang wanita tua membuka pintu pondok itu. Dr Saeed menceritakan perkara sebenar kepada wanita tua itu dan meminta untuk meminjam telefon.

Wanita itu memberitahu bahawa dia tidak mempunyai bekalan elektrik apatah lagi telefon. Namun, wanita itu mempelawa Dr Saeed untuk berteduh dan menawarkan sesuatu untuk dimakan.

Dia berjanji untuk membantu Dr Saeed mencari jalan ke arah bandar yang dimaksudkan apabila hujan reda.

Dalam kepenatan dan kelaparan, Dr Saeed bersetuju.  Wanita itu menyediakan makanan dan minuman kepada Dr Saeed dan meminta diri untuk menunaikan solat.

Dr Saeed menikmati teh panas yang disediakan oleh wanita tadi sambil memerhatikan wanita itu solat.

Setelah selesai solat, wanita itu mengulang kembali solatnya untuk beberapa kali. Dia kelihatan begitu bersungguh-sungguh ketika sujud dan berdoa.

Di sebelahnya terdapat seorang kanak-kanak yang sedang tidur. Tidak mungkin itu anaknya – bisik hati Dr Saeed.

Dr Saeed semakin tertanya-tanya. Setelah wanita tadi selesai solat, Dr Saeed memberanikan diri bertanya mengapa dia begitu bersungguh-sungguh berdoa.

Dr Saeed bertanya lagi jika ada sesuatu yang boleh beliau lakukan untuk membantu wanita itu sebagai tanda membalas budi. Wanita itu senyum dan berkata,

“Allah SWT telah menjawab semua doa-doaku sebelum ini kecuali satu. Mungkin kerana imanku masih lemah.”

“Jika tidak keberatan, boleh saya tahu, apakah yang satu itu?”

Wanita itu mengangguk.

“Anak yang sedang tidur itu adalah cucuku. Ibu bapanya iaitu anak dan menantuku telah meninggal dunia dalam kemalangan. Cucuku menghidap kanser yang sangat jarang dihidapi. Semua doktor yang aku temui sebelum ini tidak mampu merawatnya. Hanya ada seorang Dr sahaja yang pakar dalam merawat kanser yang dihidapinya. Namun, Dr itu berada di bandar yang sangat jauh dari sini. Kami tidak mampu untuk ke sana. Aku berdoa setiap pagi dan malam agar Allah permudahkan jalan untuk kami ke sana menemui Dr Saeed, Dr pakar yang mampu menyembuhkan cucuku ini.”

Mendengarkan ayat wanita tua itu, Dr Saeed menangis. Air matanya tidak dapat ditahan lagi.

“SubhanaAllah. Allah itu Maha Hebat. Pesawat yang saya naiki sebelum ini bermasalah, cuaca buruk yang saya lalui sehingga akhirnya saya sesat dan dipertemukan dengan kamu adalah kerana doa yang kamu panjatkan. Allah bukan sahaja memakbulkan doa kamu untuk bertemu dengan Dr Saeed, bahkan Dia membawa Dr Saeed kepada kamu. Saya adalah Dr Saeed.”

******

Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba-hamba-Nya yang banyak berdoa dengan penuh harap dan hati yang ikhlas serta sabar menunggu Allah mengabulkan doanya tanpa pernah merasa letih dalam berdoa.

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah Al Baqarah 2:186)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Azzianie binti Ahmad Zamri. Berasal dari Kelantan. Masih lagi belajar.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

10 points
Upvote Downvote

Total votes: 12

Upvotes: 11

Upvotes percentage: 91.666667%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 8.333333%