,

Bagaimana Mendalami Islam Mengikut Teknik Rasulullah

Adakah kita tidak melihat perubahan dalam hidup ini setelah wujudnya WhatsApp, Facebook, Instagram dan lain-lainnya dalam kehidupan kita?

Kenapa hati kita menjadi semakin keras daripada menerima dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar?

Inilah Ghazwul Fikri (perang pemikiran) yang menyerang akal kita hingga tunduk setia padanya lalu semakin jauh dari jalan yang lurus untuk berzikir kepada ALLAH SWT.

Ajaran Islam merupakan akar umbi dan tunjang keutuhan hidup yang syumul. Kita mestilah berganding bahu, mempunyai prakarsa (daya usaha) untuk melakukan perubahan.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, ramai generasi syabab (anak muda) kian alpa dengan Pendidikan Islam bahkan tidak berminat untuk mempelajarinya dengan lebih terperinci.

Oleh itu, para cendekiawan khususnya para asatizah membuat suatu pembaharuan interaktiviti dan komunikasi bagi menarik minat marhaen agar mendalami ajaran Islam dengan lebih efektif supaya kaedah pengajaran dan pembelajaran tidak terkongkong dalam lingkungan tradisi.

Pada masa yang sama, kita sebagai pencinta ulama’ seyogia (sepatutnya) membina benteng yang ampuh untuk menghadapi arus gelombang perubahan polemik terutamanya golongan intelektual.

Diikuti juga, sebulat suara bekerjasama menyusun wadah bagi menghasilkan pengeluaran Muslim yang unggul dari semasa ke semasa.

Pendidikan Islam merupakan satu usaha untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba ALLAH yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.

Antara kaedah pengajaran Rasullullah SAW ialah khutbah dan kuliah yang biasanya disampaikan di masjid atau di rumah terutamanya khutbah setiap hari Jumaat. Rasulullah juga menggunakan kaedah dialog atau perbincangan dalam pengajaran.

Hal ini berlaku demikian kerana corak pengajaran yang sempurna ini berbentuk dua hala, iaitu baik daripada pihak guru mahupun daripada pihak murid.

Rasulullah turut menunjukkan cara pembentangan secara soal jawab. Sebagai contoh, Malaikat Jibril bersoal jawab dengan Rasulullah mengenai Rukun Iman, Rukun Islam, Ihsan dan Hari Kiamat secara terbuka. Perkara tersebut bertujuan untuk mengajar orang ramai.

Selain itu, Baginda sering menggunakan gaya atau isyarat menggunakan anggota badan.

Contohnya, Baginda pernah mengeluarkan lidah ketika ditanya oleh Abu Sufyan bin Abdullah al-Bajali tentang perkara yang paling ditakuti. Baginda mengisyaratkan lidah sebagai benda yang paling ditakuti dalam usaha berpegang pada jalan lurus.

Teknik hafalan merupakan salah satu teknik yang wujud pada diri Baginda SAW. Baginda bersungguh-sungguh sebaik turunnya wahyu kepada Baginda agar tidak lupa.

Teknik perdebatan dalam penyampaian ajaran Islam juga diimplementasikan. Baginda banyak menceritakan cerita-cerita lampau tentang nabi-nabi dan umat-umat terdahulu sebagaimana tertulis dalam surah An-Nisa’ ayat 164.

Hal ini timbul bilamana Baginda merupakan pendidik atau guru yang berbahasa mulia, maka pelajar berbahasa mesra.

Lain daripada itu, Baginda SAW bukan sahaja mengajar dengan lidah kepada kaum Muslimin, bahkan segala tingkah laku Baginda menunjukkan apa yang diajar. Uswatun Hasanah yang dipraktikkan Baginda menjadi ikutan umat Baginda.

Baginda turut menggalakkan umat Islam agar mempelajari bahasa asing daripada tamadun lain. Baginda menggalakkan para sahabat menterjemah khazanah ilmu mereka kepada Bahasa Arab seperti Zaid Bin Thabit yang berjaya menguasai Bahasa Siryani.

Ramai beranggapan bahawa Islam kurang mementingkan perancangan bercorak ilmiah untuk menghadapi masa depan.

Dalam Islam secara syumul, seseorang mestilah memanfaatkan masa kini untuk masa hadapannya. Dengan demikian, dia harus membuat perancangan hidupnya yang akan menyampaikan dirinya kepada keredaan ALLAH SWT.

Baginda walaupun dijamin keselamatannya oleh ALLAH, Baginda tetap mengutamakan perancangan dalam mendidik para sahabat supaya bertawakal tanpa membuta tuli.

Hal ini tercetus apabila tawakal perlu disertakan dengan ikhitiar terlebih dahulu mengikut kemampuan sebagai hamba.

Tambahan pula, didik hibur boleh membantu meningkatkan pemahaman dalam mempelajari ajaran Islam khususnya kanak-kanak. Perkara ini boleh dikaitkan dengan pembelajaran yang menggembirakan.

Didik hibur merupakan suatu pembaharuan yang cuba diperkenalkan kepada murid-murid sebagai kaedah alternatif semasa proses pengajaran sesuatu subjek.

Modus operandi berfokus kepada penguasaan kemahiran asas subjek melalui pendekatan induktif dan deduktif serta apresiasi bahasa.

Penghayatan dan apresiasi ini perlu diterapkan secara terancang untuk murid-murid sekolah rendah dan sekolah menengah.

Aktiviti yang dijalankan haruslah disesuaikan mengikut tahap murid yang hendak diajar. Penyerapan didik hibur memerlukan tempoh pelaksanaan dan peruntukan masa pembelajaran yang fleksibel.

Penyediaan peraturan dan arahan yang diberi perlu jelas, senang dan mudah difahami untuk diikuti murid.

Dengan demikian, aktiviti didik hibur yang dirancang perlu memberi kepuasan kepada mereka yang menyertainya dan boleh disertai murid yang ramai.

Akhirul kalam, kupasan seperti ini sangat perlu kerana Rasulullah SAW merupakan pendidik unggul yang paling berjaya dalam dunia dakwah.

Baginda menyampaikan pengajaran secara menyeluruh, kognitif, afektif dan psikomotor serta berjaya menghasilkan generasi al-Quran yang mengamalkan apa yang terkandung sepenuhnya.

Mohamed bin Endut, seorang tokoh ilmuwan berpendapat bahawa Baginda SAW sebenarnya ialah model pengajaran yang patut kita contohi, bukan tokoh-tokoh Barat.

Oleh itu, saya menyeru kepada umat Islam agar mengamalkan ajaran Islam, amar ma’ruf nahi mungkar.

Hindarilah sikap nafsi yang semakin melanda umat Islam akibat hedonisme yang melampau.

ALLAH SWT berfirman dalam Surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) ALLAH, nescaya DIA akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”

Demikianlah yang diturunkan dari langit Ilahi. Marilah kita muhasabah diri dan memperbaiki kekurangan yang ada. Persis mutiara kata, biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Sakinah. Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%