,

Bagaimana Garis Takdir Hidup Kita?

Seringkali kita tertanya, bagaimana garis takdir kita pada hari ini? Mungkin juga pada bulan ini dan pada tahun ini? Takdir yang terindah ataupun takdir kesedihan dalam hidup kita yang akan terjadi?

Dalam kehidupan kita, sudah tentu ada perkara yang sama sering terjadi dalam hidup kita. Mungkin kita tidak menyedari perkara yang sama itu sebenarnya takdir hidup kita yang telah ditentukan oleh Allah SWT kepada kita.

Namun begitu, berimankah kita kepada Qada dan Qadar Allah? Tepuk dada, tanya iman!

Garis takdir kita merupakan ketetapan tertentu yang ditentukan oleh Allah SWT terhadap hamba-Nya. Ketetapan tersebut terlaksana berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk perjalanan alam ini seperti firman-Nya dalam surah Al-Furqan ayat 2:

“Dan Dialah menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.’’

Sebagai hamba-Nya yang beriman dengan Qada dan Qadar Allah SWT, kita perlu percaya bahawa garis takdir buruk dan baik itu datangnya daripada Allah SWT.

Hal ini kerana hanya Allah SWT mempunyai kehendak, ketetapan, dan keputusan di atas semua makhluk-Nya termasuklah sesuatu yang meliputi semua kejadian yang menimpa makhluk.

Pernahkah kita bertanya, kenapa garis takdir hidup kita tidak sama dengan takdir orang lain? Mungkin kita sebenarnya lupa bahawa itulah takdir Allah SWT sebagai ujian untuk hamba-Nya dalam menempuhi liku-liku kehidupan di bumi persinggahan.

Ada insan yang hidupnya mewah dengan kekayaan yang ada. Tetapi, Allah SWT menguji hidupnya dengan pelbagai ujian yang membuatkan kehidupannya tidak bahagia.

Contohnya, diuji dengan tidak mempunyai zuriat ataupun ujian menghidap penyakit berbahaya.

Ada juga hidupnya susah dengan kemiskinan yang dilalui, tetapi masih bahagia meneruskan kehidupan seharian.

Umumnya, Allah SWT menjadikan kekayaan dan kemiskinan dalam hidup hamba-Nya untuk menguji tahap keimanan kita.

Apabila kita jatuh sakit ataupun jatuh muflis daripada sesuatu perniagaan ataupun kehilangan orang yang disayangi, kita akan rasa teruknya takdir hidup kita.

Begitu juga apabila takdir hidup kita derita dan miskin. Mungkin kita akan mengeluh dengan aturan takdir yang telah ditetapkan oleh-Nya. Mengapa kita perlu mengeluh?

Bagaimana garis takdir kita nanti? Sebagai insan yang beriman, kita perlu yakin dengan takdir yang telah ditetapkan oleh Allah SWT itu ada hikmah untuk setiap hamba-Nya.

Sama ada garis takdir hidup kita itu merupakan garisan takdir buruk ataupun baik, kita harus redha dengan ketentuan-Nya serta bersabar dengan setiap ujian hidup yang telah ditetapkan untuk kita.

Ironinya, manusia mudah lupa kepada Dia. Apabila takdir buruk terjadi, manusia baru sedar untuk memohon doa kepada-Nya. Mengapakah kita sentiasa bersikap sebegini?

Mungkin iman kita masih senipis kulit bawang yang bertebaran ditiup angin kencang. Mungkin juga iman kita seperti lalang ditiup angin ke hulu ke hilir. Justeru, jadilah seperti lebah yang sentiasa memberi manfaat kepada semua makhluk-Nya.

Oleh sebab itu, takdir hidup kita dirahsiakan oleh-Nya. Allah sengaja merahsiakan semua ini supaya hamba-Nya sentiasa mengingati-Nya di dalam setiap perbuatan yang ingin dilakukan.

Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)” (Surah Al An’am:59)

Walau apapun garisan takdir kita, sentiasalah yakin dengan ketetapan-Nya dan berdoalah sentiasa kepada-Nya agar hati kita qowiy dengan ujian-Nya. Jom! Jadi hamba yang sentiasa bersyukur dan bersabar!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 4

Upvotes: 3

Upvotes percentage: 75.000000%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 25.000000%