,

Azam Tak Sampai Sebulan, Dah Terbengkalai. Kenapa?

Azam #1 : Nak jadi sado (macam Fattah Aman)

Azam #2 : Nak berhenti merokok

Azam #3 : Nak jogging setiap pagi

Azam #4 : Nak jaga diet

Azam #5 : Nak kulit flawless (macam Fazuzira)

Saya pasti kita semua pernah membuat senarai azam seperti di atas atau setidak-tidaknya cuma berazam di dalam hati.

Asal azam, mesti nak masuk tahun baru. Asal tahun baru, mesti sibuk nak berazam. Klise sangat, kan?

Sama ada terlaksana atau terbengkalai, itu semua bergantung kepada strategi tuan punya azam.

Perlukah tunggu tahun baru untuk berazam?

Mungkin pada sesetengah orang, mereka memandang tahun baru sebagai titik tolak untuk perubahan yang lebih baik.

Ini satu niat murni yang harus disokong kerana kesediaan untuk perubahan yang positif.

Pada saya sendiri, bila jiwa sudah terdetik untuk berubah, mulakan tanpa tangguh, pada saat itu juga, tanpa harus menanti tahun baru, bulan baru atau minggu baru.

Kita sendiri pun tidak tahu kebarangkalian yang bakal terjadi pada masa hadapan, maka bersegera dalam melakukan kebaikan itu lebih baik.

Tapi, tak sampai sebulan, dah terbengkalai? Whyyyy?

Satu masalah kita, bila orang lain berazam, kita suka terikut-ikut, bila tak mampu nak ikut, semuanya jadi kalut, azam yang lepas-lepas pun ke laut.

Kadang-kadang kita terlalu banyak azam yang di senarai membuatkan kita hilang fokus dengan perkara yang harus menjadi keutamaan.

Sepatutnya, fokuskan kepada misi yang kita yakin berupaya untuk mencapai sasarannya dalam satu-satu masa yang ditetapkan.

Biar azam sedikit, asalkan kita tahu BIG WHY, jelas misi dan visinya. Biar azam tidak berjela-jela, asalkan kita sentiasa aktif melaksana hingga tercapai sasarannya.

Paling penting, jaga niat dan perbaharui niat setiap hari.

Biar segala pekerjaan diniatkan kerana Allah, agar dinilai sebagai ibadat, selain bertujuan meraih redha dan keberkatan dariNya.

Juga jangan dilupa.

Jika kita boleh berazam untuk segala kebaikan yang meliputi kehidupan duniawi, kenapa tidak kita berazam untuk menyediakan diri demi satu kehidupan abadi di akhirat?

Mungkin kita lupa…

Tanam rumput, dapat rumput. Tanam padi, dapat padi dan rumput.

Begitu juga, cari dunia dapat dunia. Cari akhirat, dapat akhirat dan dunia sekaligus.

Buat renungan bersama, satu firman kasih dari Tuhan,

“Orang yang menghendaki kehidupan sekarang (dunia), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Kemudian Kami sediakan baginya (di akhirat) neraka Jahannam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan barangsiapa menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh, sedangkan dia beriman, maka mereka itulah orang yang usahanya dibalas dengan baik.” (Surah Al-Isra 17:18 – 19)

Selamat berazam dan beramal!

 

 Maklumat Penulis

Artikel ini merupakan nukilan Nuna Amin. Nama sebenar, Nur Amalina bt Muhd Amin, berasal dari Batu Pahat, Johor. Merupakan graduan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Fiqh & Usul Fiqh.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 6

Upvotes: 4

Upvotes percentage: 66.666667%

Downvotes: 2

Downvotes percentage: 33.333333%