, ,

Apabila Diriku Tidak Merasa Disayangi

“Che Qiim, budak yang Che Qiim tengok tadi adalah ‘budak psy’. Dia nak perhatian daripada seseorang. Budak ni pernah mahu bunuh diri. Dia pernah cakap pada saya bahawa semua orang dah tak sayang dirinya…”, kata seorang peserta saya di dalam kelas pentauliahan Neurolinguistic Psychotherapy (NLPt) baru-baru ini.

Anda pernah berdepan dengan situasi seperti di atas?

Apakah yang anda lakukan sekiranya berdepan dengan kes seperti ini? Bagaimana anda menangani kes ini secara lebih sistematik dan tidak menggelabah?

Kes di atas saya saksikan sendiri ketika mengendalikan kelas pentauliahan NLPt di utara tanah air baru-baru ini.

Ketika mana pasukan kami hendak menjalankan sesi teraputik ketenangan diri bersama mereka, secara tiba-tiba kami dikejutkan dengan larian deras seorang anak yang bertubuh sederhana mendakap erat seorang peserta kami sambil menangis dan berkata, “Jangan pergi tempat itu. Ada benda besar kat situ”.

Saya melihat sahaja gelagat ‘anak psy’ itu kerana peserta saya sedang mengendalikan situasi tersebut melalui ilmu yang sedang beliau pelajari. “Che Qiim, kalau terjadi kes macam ni setakat mana kita boleh membantu selaku terapis khidmat sosial?” Tanya peserta kelas.

Mengikut pengamatan saya yang menyaksikan kes sebentar tadi, anak itu mengalami kecederaan emosi yang amat teruk.

Kecederaan emosi yang dialami oleh diri anak itu boleh membawa kepada ‘halusinasi’ dan tidak keterlaluan saya katakan anak itu cenderung ke arah membunuh diri.

Kanak-kanak seperti ini telah hilang nikmat merasa kasih dan sayang daripada ahli keluarganya.

Mungkin juga saat dirinya berada di lingkungan ahli keluarga, ibu dan bapanya ‘tidak seimbang’ memberi kasih sayang kepada anak-anaknya.

Ada kemungkinan anak seperti ini datang bukan daripada ahli keluarga sebenar (anak angkat) dan boleh jadi juga anak sebenar daripada pasangan suami dan isteri.

Maka, bagaimana anda dapat mengurus kendali kes seperti ini apabila anda berkhidmat di lapangan sosial seperti peserta saya ini?

Berikut adalah ‘teknik teraputik’ yang cepat bagi meredakan situasi yang berlaku seperti kes di atas:

Langkah 1 : Peluk erat anak ini agar dirinya merasakan OK dan SELESA.

Langkah 2 : Minta dirinya RELAKS dan TENANG. Tarik nafas dan lepas nafas secara perlahan-lahan.

Langkah 3 : Apabila dirinya sudah relaks dan tenang. Bawa dirinya duduk. Dan mulakan komunikasi ‘simple’ ini.

Terapis : Apa yang awak rasa, dengar dan nampak sampai menangis tadi?

Klien : Saya nampak ada benda besar di hujung asrama tu.

Terapis : Ok. Benda besar yang bagaimana?

Klien : Benda tu besar dan berbulu lebat. Saya takut.

Terapis : Ok. Saya faham akan perasaan awak. Takut yang macam mana?

Klien : Takutlah. Mukanya garang. Matanya merah seperti marah saya.

Terapis : Baik. Seperti marah awak?

Klien : Ya. Matanya merah seperti marah saya. Semua orang tak sayang saya.

Terapis : Maksud semua orang tak sayang saya?

Klien : (Dalam keadaan seperti ini, selalunya klien akan menyebut isu sebenar yang dialami oleh dirinya berdasarkan pada kata-katanya, “Semua orang tak sayang saya”). Saat ini terapis perlu menunggu jawapan daripada diri klien dalam keadaan relaks dan tenang.

Terapis : Baiklah. Saya memahami dan merasai apa yang awak katakan pada saya sebentar tadi. Maka, sekarang saya mahu awak relaks. Awak bersama saya dalam keadaan selesa dan selamat. Pejam mata perlahan-lahan (ketika ini terapis boleh melakukan terapi relaksasi dengan cepat dan pantas untuk meredakan emosi dan pemikiran diri klien).

Sebenarnya, apa yang dikatakan oleh anak itu (nampak benda besar di hujung asrama itu) hanyalah sebuah SIMPTOM sahaja.

Manakala, ayat komunikasi dirinya yang menyatakan, “Semua orang tak sayang saya” adalah AKAR PERMASALAHAN sebenar klien.

Melalui kata-katanya, kita boleh mengesan apakah yang sebenarnya berlaku di dalam dirinya kerana kata-katanya melambangkan apa yang terjadi pada emosinya.

Emosinya mahu berkata, ‘APABILA DIRIKU TIDAK LAGI MERASA DISAYANGI’, ujar saya mengakhiri kelas pentauliahan tempoh hari.

*Kisah di atas adalah kisah yang disaksikan sendiri oleh penulis saat mengendalikan sesi pentauliahan NLPt di utara tanah air. Ianya membuka mata penulis akan kehebatan insan yang bertugas di lapangan sosial di dalam mengendali isu-isu kemasyarakatan warga Malaysia. Tahniah diucapkan kepada semua petugas khidmat sosial negara yang berkhidmat kerana Allah demi kesejahteraan warga Malaysia. Kalian sememangnya terbaik.   

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Mohd Mustaqiim Asmuji. Beliau merupakan seorang pakar klinikal psikoterapis dan pengasas NLP & Hypnotherapy Center. Berpengalaman luas di dalam bidang kesihatan minda dan emosi melalui terapi psikologi NLP & Hipnoterapi.

Berdaftar secara sah di bawah Persatuan Pengamal Hipnoterapi Malaysia (AHPM) yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (Traditional & Complementery Medicine). Beliau boleh dihubungi melalui talian +6019-2044036.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%