, ,

Apabila Allah Menjaga Hati Kita, Nescaya Melimpah-limpah RahmatNya

Seorang gadis remaja sedang berjalan menelusuri kaki pantai dengan perlahan-lahan. Bunyi lautan yang berkocak-kocak itu sangat mendamaikan perasaan.

Gadis tersebut bersandar di pokok dan merenung kosong ke arah langit. Langit kebiruan cerah itu kelihatan kosong tanpa kelibat awan dan burung berterbangan.

“Hatiku ini sangat kosong umpama langit ini. Jasadku solat namun hatiku tidak mendirikan solat,” bisik hatinya.

Gadis tersebut tidak sabar menunggu kelibat seorang guru tasawwuf yang sentiasa mencurahkan ilmunya.

Gadis ini umpama seorang peminat menagih belas kasihan untuk berjumpa dengan artis kesayangannya.

Gadis ini percaya ilmu tasawwuf adalah ilmu yang penting bagi menelusuri kehidupan yang bercahaya.

Guru ini sentiasa mengingatkan anak muridnya akan ilmu al-Quran, ilmu Hadis dan ilmu tasawwuf perlu berjalan seiring.

Kita perlu meyakini bahawa ilmu tasawwuf yang benar adalah berjalan seiring dengan dalil al-Quran dan hadis. Dengar kata-kata hikmah Syeikh Junaid al-Baghdadi Rahimahullah…”

من لم يحفظ القرآن، ولم يكتب الحديث، لا يُقتدي به في هذا الأمر لأن علمنا هذا مقيد بالكتاب والسنة

“Maksudnya: Barangsiapa yang tidak menghafal al-Quran dan tidak menulis hadis, dia tidak diikuti dalam urusan ini (yakni tasawuf) kerana ilmu kami ini terikat dengan al-Quran dan al-Sunnah,” pesan guru tersebut.

Sekiranya tidak berjalan seiring, seseorang itu akan tergelincir dengan tipu daya Iblis. Justeru, perbahasan ilmu tasawwuf akan diselewengkan dan disesatkan.

Guru tersebut menguatkan lagi hujah beliau dengan pesan ulama ini:

Syeikh Abdul Wahab al-Sya’rani berkata: “Tasawuf Islam memancar di hati para wali ketika beramal dengan al-Quran dan al-Sunnah. Tasawwuf juga merupakan intipati daripada seseorang hamba yang beramal dengan hukum-hukum syariah.”

Perasaan gadis ini damai sekali mendengar penjelasan dan kuliah guru ini.

Guru ini menyambung lagi, “Tasawwuf adalah pergantungan kepada Allah dan bukan kepada makhluk. Tasawwuf adalah perlakuan akhlak yang tinggi dan meninggalkan perbuatan yang keji. Antara kaedah untuk mengenal Allah iaitu melihat ciptaanNya,” jelas guru tersebut.

“Janganlah kita sibuk untuk mengenali zat Allah, ianya tidak boleh sama sekali. Allah menyuruh kita untuk memikir ciptaan makhluk untuk mengenaliNya, bukan pada zatNya,” pesan guru itu bagi menguatkan hujahnya sebelum ini.

Lantas guru tersebut membacakan sepotong hadis ini:

“Daripada Ibn Abbas, sabda Rasulullah SAW:

تفكَّرُوا فِي خَلْقِ اللهِ ولَا تَفَكَّرُوا فِي اللهِ

Maksudnya: Berfikirlah kamu tentang makhluk Allah, dan janganlah kamu berfikir tentang (Zat) Allah. (Sahih Al-Jami’ al-Saghir (2976). Hadis Hasan)”.

Gadis ini merasakan tenang mendengar kuliah guru ini. Seolah-olah cahaya sedang dimasukkan di dalam jantung hatinya.

“Hidup ini perlu berzikir. Berzikirlah. Kerana Nabi Muhammad hidup dengan berzikir. Berzikirlah meskipun hati ini lalai. Berzikirlah ketika lalai lebih baik daripada tidak berzikir langsung. Mudah-mudahan Allah memberikan hidayah dan pertolongan terhadap hambaNya yang berzikir. Sedang Ibn Ataillah al-Iskandari Rahimahullah berpesan:

“Janganlah engkau tinggalkan zikir hanya kerana gagal menghadirkan hati bersama Allah ketika berzikir, kerana lalai daripada berzikir berlebih bahaya daripada lalai ketika berzikir. Mudah-mudahan (kerana sebab itu) Allah akan mengangkat darjatmu daripada berzikir yang lalai kepada zikir yang sedar,” pesan guru tersebut.

Gadis itu menginsafi di dalam benak fikirannya, “Ya Allah, hatiku ini sentiasa lalai daripada mengingatiMu. HambaMu ini jarang berzikir kepadamu. Ampunkan dosaku ini wahai Tuhanku,” gadis ini memujuk hatinya.

“Solat perlu khusyuk. Bila khusyuk, hidup kita bahagia. Bila khusyuk, semua masalah dunia selesai. Namun, kebanyakan kita hanya jasad bersolat. Tapi hati tidak mendirikan solat. Tahukah kenapa kita tidak khusyuk dalam solat?” Tanya tuan guru kepada anak muridnya.

Gadis itu tertunggu-tunggu jawapan dengan tidak sabar sekali. Tuan Guru menjawab, “Sebabnya bila kita solat, hati kita tidak ingat Allah. Hanya jasad sahaja bergerak. Bukankah Allah menyuruh hambaNya solat untuk mengingatinya?” Pesan tuan guru sambil membacakan ayat al-Quran ini:

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Maksudnya: “… Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Surah Taha: 14)

“Latihlah hati kita mengingat nama “Allah”, “Allah”, ‘Allah” setiap hari. Pastikan setiap hirupan dan hembusan nafas kita menyebut dan mengingati nama “Allah”.

Amalkan juga zikir-zikir dan doa-doa dalam Al-Mathurat, Hisnul Muslim, Al-Azkar dan Riyadhus Shalihin yang diamalkan Rasulullah. InsyaAllah hidup kita akan bahagia,” pesan guru bagi menutupi kuliah beliau.

Gadis itu semakin bersemangat mendengar kuliah guru ini. Gadis ini menumpukan dengan sepenuh perhatian.

Guru tersebut menutup kuliah dengan pesanan Imam Al-Ghazali, “Apabila Allah menjaga urusan hati, nescaya melimpah-limpah rahmat atasnya. Terangkan cahaya pada hati, lapanglah dada dan terbukalah baginya rahsia pada alam malakut.”

Gadis tersebut merasa jiwanya tenang dan meraih inspirasi bagi menambah nilai solatnya dari hari ke hari. Lantas gadis tersebut menelusuri di tepian ombak semula. Kelihatan air laut jernih sekali dan mendamaikan sebagaimana perasaan gadis ini.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Kini, berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR, Malaysia.

Adik kepada penulis ada menyediakan perkhidmatan “Private Martial Art Lesson” di Seksyen 19, Shah Alam. Sila hubungi adik penulis, Muhammad Ikram di talian 017-603 9997 untuk sebarang pertanyaan. Layari https://www.instagram.com/ikramtyson/

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%