,

Apa Yang Dilakukan Uwais Al-Qarni Kepada Ibunya Sehingga Beliau Dimuliakan Allah

Oh ibu
Kau disiram bayu pagi
Kehilangan terasa kini dan kesepian
Dan aku
Bagai purnama gerhana
Diibarat lautan kering
Tiada tempat kulayarkan
Hasratku ini kucurahkan rasa hati

Kutatapi potretmu berulang kali
Kurenungkan kalimah yang diberi

Tuhan yang Esa         
Ampuni dosa ibu
Tempatkan mereka                          
Di antara kekasih-kekasihMu
Oh Ibu kau kasih sejati                    
Ku taburkan doa untukmu ibu

Ampunilah dosaku sejakku dilahirkan
Hingga akhir hayatmu… ibu…

Mendengar bait-bait lagu nyanyian kumpulan Exist, terasa sayu hati dengan iramanya yang menusuk kalbu dan menghantar emosi kasih sayang mendalam daripada seorang anak terhadap pemergian seorang ibu.

Malah, kita juga akan terkenangkan jasa dan dan pengorbanan seorang ibu terhadap diri kita sendiri.

Daripada Abu Hurairah radhiyallaahu‘anhu, beliau berkata: “Seseorang datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi shallallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Kemudian ayahmu.’” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Nilai segunung emas tidak akan mampu membayar setitik susu ibu yang mengalir untuk diberikan kepada seorang anak yang kelaparan. Lihatlah! Harga setitik susu ibu itu tiada nilainya.

Berilah berjuta-juta emas sekalipun tidak mampu dan tidak cukup untuk memberi nilai harga setitik susu ibu! Sudah terang lagi bersuluh kata-kata syurga di bawah telapak kaki seorang ibu!

Namun begitu, masih ada lagi kisah-kisah pengabaian ibu bapa terjadi dan terpampang di dada-dada akhbar mahupun media sosial. Masih ada juga anak yang tidak mengenang jasa ibu bapa sehingga sanggup meninggalkan mereka di rumah kebajikan. Masih ada lagi Si Tanggang!

Imam Adz-Dzahabi rahimahullaah berkata dalam kitabnya Al-Kabaair,

“Ibumu telah mengandungmu di dalam perutnya selama sembilan bulan, seolah-olah sembilan tahun. Dia bersusah payah ketika melahirkanmu yang hampir saja menghilangkan nyawanya.

Dia telah menyusuimu daripada putingnya, dan ia hilangkan rasa mengantuknya kerana menjagamu. Dia cuci kotoranmu dengan tangan kirinya, dia lebih utamakan dirimu daripada dirinya serta makanannya.

Dia jadikan pangkuannya sebagai ayunan bagimu. Dia telah memberikanmu semua kebaikan dan apabila kamu sakit atau mengeluh tampak darinya kesusahan yang luar biasa dan panjang sekali kesedihannya dan dia keluarkan harta untuk membayar doktor yang mengubatimu.

Seandainya dipilih antara hidupmu dan kematiannya, maka dia akan meminta supaya kamu hidup dengan suaranya yang paling keras. Betapa banyak kebaikan ibu, sedangkan engkau balas dengan akhlak yang tidak baik.

Dia selalu mendoakanmu dengan taufik, baik secara sembunyi maupun terang-terangan. Tatkala ibumu membutuhkanmu di saat dia sudah tua renta, engkau jadikan dia sebagai barang yang tidak berharga di sisimu.

Engkau kenyang dalam keadaan dia lapar. Engkau puas minum dalam keadaan dia kehausan. Engkau mendahulukan berbuat baik kepada isteri dan anakmu daripada ibumu. Engkau lupakan semua kebaikan yang pernah dia perbuat.

Berat rasanya atasmu memeliharanya padahal itu adalah urusan yang mudah. Engkau kira ibumu ada di sisimu umurnya panjang padahal umurnya pendek. Engkau tinggalkan padahal dia tidak punya penolong selainmu.

Padahal Allah telah melarangmu berkata ‘ah’ dan Allah telah mencelamu dengan celaan yang lembut. Engkau akan disiksa di dunia dengan derhakanya anak-anakmu kepadamu. Allah akan membalas di akhirat dengan dijauhkan daripada Allah Rabbul ‘aalamin.”

Apabila membicarakan tentang ibu, teringat kisah seorang pemuda Yaman bernama Uwais al Qarni.

Beliau disebut oleh Rasulullah SAW sebagai seorang yang sangat kuat berkhidmat untuk ibunya dan sangat mustajab doanya sehingga Saidina Umar al Khattab dan Saidina Ali pernah diminta oleh Baginda untuk pergi meminta doa daripada beliau.

Ibunya yang lumpuh telah meminta Uwais untuk membawanya menunaikan haji. Apabila ibu Uwais meminta kepadanya untuk menunaikan haji, Uwais telah membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu.

Uwais telah membuat sebuah pondok kecil di atas bukit. Pada setiap petang, beliau akan mendukung lembu tersebut untuk diberi makan dan mendukung kembali untuk diletakkan di dalam pondok tersebut.

Begitulah rutin sehariannya setiap hari sehingga perbuatan yang dilakukannya menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.

Sebenarnya, Uwais seorang yang bijak. Setelah enam bulan lembu yang asalnya hanya 20 kilogram sudah menjadi 100 kilogram.

Otot-otot tangan dan badannya pula menjadi kuat sehingga mudah mengangkat lembu seberat 100 kilogram setiap hari.

Perbuatannya ini merupakan satu persediaan untuk membawa ibunya mengerjakan haji. Uwais telah mendukung ibunya dari Yaman hingga ke Mekah dan dari Mekah ke Yaman semula.

Beliau juga membantu ibunya melakukan tawaf dan sa’i dengan mudah sambil mulutnya sentiasa berdoa kepada Allah supaya diampunkan dosa ibunya.

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”

Uwais menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa ibu.”

Ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu?”

Uwais menjawab: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.”

Ibunya berkata lagi: “Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah SWT hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.”

Uwais berkata: “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.”

Ibunya menambah: “Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.”

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah SWT menyembuhkan tompok putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu.

Namun kerana beliau takut masih ada dosa pada dirinya, beliau berdoa:“Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang tompok putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.”

Maka, Allah SWT segera memakbulkan doanya dan menghilangkan penyakit sopak di seluruh badannya kecuali meninggalkan setompok sebesar duit syiling di tengkuknya.

Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah dan tanda itulah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Ali untuk mengenali Uwais al-Qarni.

Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Uwais telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas ibunya meninggal, Uwais menjadi seorang yang soleh dan ditinggikan martabatnya di sisi Allah sehingga dia menjadi seorang yang doanya paling makbul.

Begitulah tingginya kasih dan cinta Uwais al Qarni terhadap ibunya sehingga Rasulullah SAW menggelarkan dirinya sebagai seorang yang tidak dikenali oleh penduduk bumi tetapi sangat dikenali oleh penduduk langit. Hebat sungguh insan ini!

Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri, aku masih hidup pada hari ini kerana kasih sayang seorang ibu. Adakah aku menghargai pengorbanan ibuku?

Tepuk dada, tanya iman masing-masing. Hargailah ibu selagi hayatnya masih ada. Jangan pula apabila tutupnya mata si ibu kerana kembali kepada pencipta-Nya, barulah hendak menyesal.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Sayangilah ibu!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nadia Sensei yang merupakan seorang guru di SMI Aman Binjai, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

8 points
Upvote Downvote

Total votes: 8

Upvotes: 8

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%