,

Antara Tawakal, Redha dan Sabar (bahagian 1)

Tawakkal itu berserah dan percaya kepada Allah setelah kita berusaha sehabis daya. Redha itu ikhlas menerima segala ketentuanNya dalam apa jua keadaan. Sabar itu mengawal emosi saat diuji.

Sebagai manusia kita takkan pernah lari daripada sifat semulajadi seorang manusia. Dalam setiap apa jua yang kita hadapi sudah tentu kita akan berhadapan dengan emosi sedih, gembira, kecewa, bahagia, dan sebagainya.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Rad:28)

******

Patient fit ke? Mata macam dah roll back tu,” specialist berjalan mendekati pesakit. Ditepuk bahu pesakit namun tiada respond. Hanya badannya sahaja yang menunjukkan tanda bahawa dia dalam keadaan ‘fit’ atau sawan.

“Awak, tolong saya,” tiba-tiba suasana di dalam ward ketika ward round pagi itu bertukar cemas. Tirai di sekeliling pesakit ditarik untuk menjaga privacy pesakit.

Waris pesakit diminta untuk tunggu di luar tirai. Arisha segera ke sisi katil pesakit yang tiba-tiba tidak sedarkan diri tadi – membantu doktor pakar melaraskan katil. Doktor memeriksa nadi serta ritma nafas pesakit dan segera melakukan CPR.

“Pakai glove, help me with CPR,” laung doktor tadi sambil terus menekan dada pesakit. Segera Arisha berlari mendapatkan glove dan bersedia untuk mengambil alih tugas CPR.

Troli ubat-ubatan kecemasan ditolak masuk ke kawasan katil pesakit. Doktor lain yang bertugas segera memasang line bagi memudahkan proses memasukkan ubatan yang mampu membantu mengembalikan denyut nadi pesakit tadi.

Change,” kata doktor yang sedang melakukan CPR tanda mahu bertukar tangan. Arisha segera mengambil alih tugas melakukan CPR. Katil pesakit dipanjat. Dada pesakit ditekan bagi membantu jantung berdegup kembali.

Please mak cik, buka mata,” omel doktor di sebelah Arisha perlahan sambil Arisha terus menekan dada pesakit yang tidak berombak sejak tadi. Di sebelah kiri, doktor yang lain mula melakukan intubasi kepada pesakit.

Doktor senior di hadapan Arisha meminta Arisha untuk berhenti melakukan CPR untuk melihat sama ada jantung sudah kembali berdetak ataupun tidak.

Hampa.

Satu, dua, tiga, CPR masih diteruskan. Dua kali defibrillator ditekap ke dada pesakit.

Segala jenis ubatan untuk menaikkan tekanan darah dan membantu jantung berdegup berterusan diberikan kepada pesakit. Dalam kekalutan pagi itu, Arisha terdengar doktor senior di hadapannya berbisik,

Please mak cik. Please wake up,” perlahan, namun masih jelas didengari kerana Arisha berada paling hampir dengannya waktu itu. Hati Arisha tersentuh.

Waktu itu nafas Arisha kering dan dia meminta untuk bertukar tangan untuk melakukan CPR. Seorang sahabat lain segera mengambil alih.

Arisha mencari-cari detik nadi pesakit itu. Hampa. Tangan pesakit dipegang. Sejuk. Dingin. Dua puluh minit CPR dilakukan. Ubat-ubatan yang berkaitan juga sudah diberikan. Namun tanda-tanda pesakit tadi akan sedar tiada.

Empat puluh minit berlalu. Akhirnya, mereka terpaksa akur. Dia lebih menyayangi pesakit itu. Perlahan-lahan CPR dihentikan atas arahan doktor pakar.

Cardiac monitor jelas memaparkan flatline. Segala alatan untuk mengesan degup jantung ditanggalkan satu persatu.

Innalillahiwainnailaihirojiun.

Arisha masih berdiri di sisi katil pesakit. Doktor pakar keluar dari ruangan katil pesakit untuk memaklumkan ahli keluarga pesakit mengenai berita itu.

I’m so sorry mak cik. It’s hurtful to say goodbye like this. He loves you more,” doktor senior tadi berbisik perlahan. Seorang demi seorang mula meninggalkan ruangan katil pesakit. Jururawat mula mengambil alih tugas seterusnya.

Keluar sahaja dari ruangan katil pesakit tadi, banyak mata yang memandang. Perlahan-lahan glove ditanggalkan.

Arisha mengerling jam di pergelangan tangan. Baru pukul 10.35 pagi. Suasana yang berjaya menaikkan hormon adrenalin sesiapa sahaja yang terlibat dan melihat.

 

> bersambung Antara Tawakal, Redha, Dan Sabar (bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Azzianie binti Ahmad Zamri. Berasal dari Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%