,

Andai Saya Terus Rebah Dengan Kegagalan

Nama saya Amalina. Seorang pelajar cemerlang dalam bidang akademik sejak dari darjah 1 sehingga darjah 6.

Kemudian melanjutkan pelajaran di sekolah menengah. Juga berjaya merebut gelaran pelajar cemerlang dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 5.

Figura saya yang selalu naik ke pentas untuk menerima hadiah daripada pengetua. Nama saya yang selalu terpampang di papan kenyataan sebagai best student!

Saya berjaya mempertahankan gelaran pelajar cemerlang di pusat matrikulasi. Ketika itu saya berada di puncak kejayaan. Saya merasakan bahawa saya akan sentiasa berjaya tidak kira di mana saya berada. Sombongnya saya!

Saya bercita-cita ingin menjadi seorang pendidik sejak dari kecil. Keluarga saya juga menyokong cita-cita murni saya.

Kemudian saya cuba memohon untuk mengikuti bidang pendidikan. Saya memohon Institut Perguruan Guru (IPG). Saya turut memohon ijazah dalam bidang pendidikan di dua universiti awam. Saya berjaya mendapat interview untuk IPG dan juga salah satu universiti awam.

Namun kedua-dua interview tersebut saya gagal. Saya gagal untuk mendapat peluang itu! Peluang saya untuk menjadi seorang guru seakan tertutup. Saya buntu!

Kemudian saya berjaya melangkah ke universiti dalam bidang psikologi. Harapan untuk menjadi pendidik masih lagi cerah.

Namun, semester pertama saya mendapat tekanan daripada orang sekeliling atas sebab yang saya sendiri tidak faham. Dengan masalah keluarga. Masalah pelajaran.

Saya sentiasa menelefon ibu bapa saya untuk meluahkan perasaan. Saya berasa sangat stress dan tertekan. Saya gagal mengawal tangisan setiap kali menelefon kedua ibu bapa.

Saya tidak mampu untuk membuat sebarang keputusan yang melibatkan masa hadapan saya.

Apa pun keputusan kakak, mak dan ayah akan sentiasa sokong. Jangan lupa minta doa kepada Allah.

Saya tahu ibu bapa saya turut tertekan dengan apa yang berlaku. Saya juga turut tertekan. Saya yang ketika itu hanyalah seorang anak berumur 18 tahun yang baru belajar hidup berdikari, jauh dari keluarga dan hidup di perantauan.

Lalu berbekalkan tawakal kepada Allah, saya mengambil keputusan yang sangat berat iaitu saya akan tukar kursus. Kursus apa?

Mak, kakak akan tukar kursus kalau itu yang membuatkan semua orang bahagia. Kalau itu yang akan memuaskan hati semua orang dan mak ayah doakan supaya Allah kuatkan kakak dan permudahkan segalanya.

Saya kemudian menukar kursus daripada psikologi kepada bidang kimia. Saya terpaksa menunggu kekosongan daripada fakulti kimia selama 2 minggu.

Sekiranya ada kekosongan maka permohonan saya akan diluluskan. Sepanjang tempoh itu, saya menghabiskan masa dengan turun naik bangunan pentadbiran untuk menguruskan surat pertukaran. Hanya saya sendirian!

Alhamdulillah. Saya ditakdirkan untuk mendapat biasiswa bagi melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi. Tetapi kerana saya ingin bertukar kursus maka saya harus menukar maklumat tajaan biasiswa saya.

Hanya Allah yang tahu perasaan saya apabila terpaksa menghadapi semua itu sendirian tanpa keluarga di sisi dan juga semua ujian itu datang serentak. Tukar kursus dan tukar tajaan biasiswa! Peluang keduanya adalah 50-50 sama ada lulus atau gagal!

Pertengahan semester, Alhamdulillah, penukaran tajaan biasiswa saya berjaya dan saya juga berjaya menukar kursus ke bidang kimia.

Saya ingat saya sukakan kimia kerana saya belajar daripada aliran sains. Namun hakikatnya minat dan semangat sahaja tidak cukup. Saya gagal dan saya merasakan dunia kegemilangan saya berakhir di alam universiti.

Tahun pertama dan kedua, saya gagal dan repeat paper!

Tahun ketiga saya gagal dan terpaksa repeat year!

Biasiswa saya disekat!

Saya pernah hadiri sesi kaunseling daripada dekan fakulti!

Masalah dengan subjek!

Masalah dengan family!

Masalah dengan program!

Tiada siapa yang tahu betapa derasnya air mata saya tatkala tiba keheningan malam. Tatkala saya teringatkan kegagalan demi kegagalan yang saya tempuhi.

Tatkala teringatkan wajah-wajah kesayangan saya yang pastinya kecewa dengan saya. Wajah-wajah lecturer yang menyimpan harapan tinggi untuk setiap pelajarnya supaya berjaya.

Saya hancurkan harapan mereka semua. Saya hanya mampu menangis dan menangis mengadu kepada Dia yang Maha Mendengar. Hanya kata-kata kesalan yang terpendam di lubuk hati yang paling dalam. Saya minta maaf!

“Ayah, kakak minta maaf.”

“Mak, kakak minta maaf.”

Saya bangkit daripada kegagalan pada tahun akhir pengajian saya. Tiada istilah terlambat bagi saya untuk mengejar kejayaan.

Saya bagaikan tersedar daripada lena yang panjang dan saya akan melakukan yang terbaik untuk Allah, keluarga saya, pensyarah saya dan juga masyarakat!

Saya kuatkan hati dan belajar daripada kegagalan saya. Saya perbaiki kelemahan dan sikap saya.

Dan yang paling utama adalah saya meminta kepada Allah supaya diberi kejayaan setiap kali selepas solat fardhu, tahajud dan dhuha.

Saya berdoa dengan penuh kesungguhan dan harapan kepada Allah. Segala ilmu adalah milik Allah dan Dia jua yang Maha Memberi.

“Berikanlah aku kejayaan sekiranya itu terbaik untukku, ya Allah. I have to serve the ummah with the ability that I have.”

Tahun terakhir adalah anugerah dan peluang yang Allah berikan kepada saya untuk menebus kegagalan saya pada tiga tahun yang lepas. Saya bersyukur kerana saya gagal!

“I believe in myself. I can graduate with 3.5 and above.”

“3.5 kamu sangat kecil kerana aku ada Allah Yang Maha Besar.”

Guess what?

Alhamdulilah, saya berjaya mendapat 3.5 pada tahun terakhir saya! Ya Allah, semuanya adalah keranaMu.

Saya yang pada mulanya seorang pelajar yang tiada harapan untuk berjaya dan sentiasa diuji dengan kegagalan demi kegagalan, mampu untuk menghadiri konvokesyen dengan penuh kesyukuran.

Saya mampu untuk menghadiahkan senyuman bangga pada wajah-wajah kesayangan saya. Syukur ya Allah!

**********

Saya merenung kembali, kegagalan lalu membuka mata hati saya bahawa dengan kegagalan itu saya menghargai nilai sebuah kejayaan. Kegagalan saya adalah suatu trofi bagi saya kerana ia membuka pintu kejayaan yang lain bagi saya.

Saya dulu percaya dengan adanya usaha pasti akan berjaya. Namun kepercayaan saya ternyata salah kerana usaha belum tentu membuatkan saya berjaya.

Semua yang berlaku adalah kerana izin daripada Allah. Saya terlalu bergantung kepada kebolehan saya tanpa meletakkan tawakal dalam usaha dan apabila saya gagal, saya merasakan sayalah manusia yang paling bodoh. Saya lupa tiada apa yang berlaku di dunia ini tanpa izin Allah.

Saya dulu beranggapan bahawa saya ingin hidup di dunia ini untuk mengejar cita-cita saya, belajar rajin, dapat kerja yang bagus, kahwin, kemudian ada anak, tua dan kemudian mati.

Saya lupa mengejar redha Allah dan saya lupa untuk mengejar kejayaan yang hakiki.

Syurga.”

Saya dulu bukan sahaja gagal dalam akademik tetapi saya turut gagal mengenal Tuhan saya. Saya gagal sebagai seorang pelajar.

Namun saya tidak sedar betapa saya juga gagal menjadi seorang hamba. Hamba kepada Dia yang sentiasa bersama saya di saat saya berjaya dan gagal. Sombongnya saya, ya Allah!

Dengan kegagalan itu, saya mengenal Tuhan saya.

Dengan kegagalan itu, saya tahu matlamat terbesar saya iaitu redha Ilahi.

Dengan kegagalan itu, saya dapat memahami perasaan mereka yang pernah gagal dalam hidup.

Dengan kegagalan itu, saya menjadi lebih ikhlas dalam belajar dan bekerja.

Jika dengan gagal saya menemui cinta Allah, maka saya rela gagal!

Kegagalan saya dari segi akademik namun saya tahu kegagalan itu bukanlah penentu segala-galanya. Ramai orang yang tidak berpeluang untuk belajar di universiti tetapi tetap berjaya dalam hidup.

Berhentilah membanding-bandingkan sesama kita. Setiap daripada kita mempunyai kisah gagal yang tersendiri dan yang membezakan kita ialah cara kita menghadapi kegagalan tersebut.

“Kesulitan itu adalah suatu keindahan kerana kita mampu berdiri pada masa kini kerana kesulitan pada masa lalu.

Andai saya terus mengalah dengan kegagalan lalu, maka kini saya tidak akan menjadi seorang pegawai di jabatan kimia. Alhamdulillah, I have serve the ummah with the ability that I have.

Andai saya terus rebah dengan kegagalan lalu, maka kini saya tidak akan berdiri di hadapan khalayak untuk menyebarkan ilmu. Hakikatnya saya berjaya mengejar cita-cita saya iaitu menjadi seorang pendidik dengan menyebarkan ilmu kepada masyarakat.

Andai saya terus hanyut dengan kegagalan lalu, maka saya tidak akan menulis kisah gagal saya ini untuk dijadikan inspirasi oleh mereka untuk bangkit mengejar sebuah nilai kejayaan yang manis.

Kejayaan itu akan datang dan mungkin tertangguh,
Jika tertangguh, ia akan datang pada masa terbaik.

Setiap kita mempunyai kisah yang berbeza,
Kisah yang paling indah,
Menemukan kita dengan cinta Ilahi.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Asyirah binti Mohd Sauti. Berasal dari Bachok, Kelantan. Merupakan pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda farmasi di UKM.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

15 points
Upvote Downvote

Total votes: 17

Upvotes: 16

Upvotes percentage: 94.117647%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 5.882353%