, ,

Anda Berimpian Mahu Menulis? Kenapa Nak Menulis?

Ya Salam Ya Allah…

Alhamdulillahi Robbil Alamin, Allahumma Solli A’la Sayyidina Muhammad Wa A’la Alihi Wasohbihi Wabarik Wasallim.

Salam perkenalan dari saya Era buat sahabat pembaca yang baru pertama kali membaca tulisan ini.

Jam menunjukkan jam 1.26 pagi. Masih mengadap laptop untuk menulis sebuah cerita. Ya Allah, saya memang tak pandai menulis, tetapi kini baru saya mengerti kenapa saya masih tidak jemu dan mahu menulis.

Saya masih ingat lagi saya pernah susah sampai pernah kutip duit syiling sebab nak makan, sampai sujud syukur bila Allah hantar makanan melalui jiran saya.

Saya pernah ‘dipaksa’ bersedekah semasa saya pernah susah semata-mata Allah nak ajar saya hebatnya janjiNya bahawa, “Bersama kesusahan ada kesenangan”, sehinggalah Allah ilhamkan saya menulis buku sulong pertama.

Alhamdulillah, saya menerima respon yang baik daripada pembaca yang kadang-kadang membuatkan saya terharu.

Bila saya menulis, akhirnya saya faham sebenarnya Allah gerakkan saya untuk berkongsi kasihNya kepada kita hambaNya akan kebenaran janjiNya bahawa sungguh, “Bersama Kesusahan Ada Kesenangan”, serta mahu berkongsi rasa untuk bangkitkan semangat orang lain yang sedang rasa susah dan diuji seperti saya dulu.

Manusia diibaratkan seperti sebuah buku. Kulit depannya adalah tarikh lahir manakala kulit belakangnya adalah tarikh kematian.

Setiap helaiannya adalah kehidupan yang dilalui hari demi hari. Ada buku yang tebal dan ada yang nipis. Ada cerita enak dan ada pula yang kurang enak.

Tetapi yang menariknya, seburuk manapun halaman sebelumnya pasti tersedia halaman selanjutnya yang putih bersih, baru malah tiada cacat.

Begitulah Allah yang Maha Baik, yang sering beri ruang untuk kita melakukan kebaikan.

Walaupun kita rasa tak layak untuk menulis, tapi akhirnya kita akan faham bahawa kita menulis sebab mahu beri manfaat pada yang sudi membacanya serta memberi manfaat pada orang lain dan melaluinya moga saya dapat gembirakan Allah Yang Maha Baik serta Nabi Mulia sallallahu a’laihi wasallam.

Bagaimana dengan sahabat pembaca?

Mohonlah ilham daripadaNya dan sekarang sudah boleh tanam niat mahu menulis agar melalui penulisan itu Allah redha dan terima kita sebagai hamba-Nya dan agar Rasul sallallahu a’laihi wasallam juga redha kita sebagai umatnya.

Menulis bukan mahu dipuji malah kita sedar Dialah yang selayaknya dipuji. Menulis membawa kita menyaksikan ilah.

Ya Ilahi, Ya Allah yang mentadbir kita dengan kasihNya hatta menggerakkan tangan untuk menaip setiap bait kata-kata ini adalah daripada daya kekuatanNya.

La hawlawala quwwata illa billah. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.

Moga penulisan saya sama ada di buku, di alam maya mahupun di blog menjadi asbab kebaikan dan menjadi inspirasi buat anda yang berimpian untuk menulis.

Moga melaluinya Allah akan bimbing kita insyaAllah.

Malah jika kita menulis dengan niat mahu membantu (agama) Allah, Dialah nanti yang akan meneguhkan kedudukan kita.

Allah berfirman: “Wahai orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad: ayat 7)

Selamat menulis di kehidupanmu. Menulislah dengan rasa cinta dan kasih sayangNya serta dengan berhikmah.

Moga kita berpaut dengan ikatan silaturrahim walaupun melalui alam maya ini. Moga sahabat yang membaca sudi doakan kebaikan buat saya.

Saya doakan kepada sahabat yang sudi berkongsi artikel ini, moga Allah titipkan hadiah dan kurniaan yang terbaik di sisiNya buat sahabat-sahabat pembaca.

Walaupun kita belum pernah bersua muka, moga kesudian menyebarkan tulisan ini menjadi asbab kebaikan. Insya Allah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Era Adlina yang merupakan seorang penulis buku, motivator dan Profesional Learning Facilitator. Buku sulong berjudul Bersama Kesusahan Ada Kesenangan. Ikuti perkembangan beliau melalui blog www.eraadlina.com.

Pernah menjalankan seminar Mudahnya Menjemput Rezeki, Berani Bangkit. Terlibat sebagai Trainer untuk program Jom Syahadah untuk bantu masyarakat membangkitkan nilai-nilai positif, meraih ketenangan dan kebahagian melalui hidup bersyahadah.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%