,

Allah Itu Ada Dan Sentiasa Ada Untukmu

Aku lihat sekeliling. Keadaan sunyi sepi, hanya aku sendiri.

Air mata yang sejak dari tadi kutahan akhirnya mengalir jua jatuh ke pipi.

Allah, aku diuji lagi. Sakit, sedih, kecewa…semuanya bercampur rasa.

Kenapa aku, selalu hanya aku, dan harus aku yang alami rasa ini. Seboleh daya aku mengukir senyuman di hadapan teman, agar sedihku, piluku tak siapa yang tau.

Cukup hanya aku yang mengetahuinya. Tapi, mungkin kerana terlalu lama dipendam, hati dan jiwa sudah tidak mampu menanggung rasa.

Pada siapa mahu aku ceritakan?

Aku ingin sahaja berkongsi rasa pada dia yang setia mendengar, yang tidak jemu bersamaku dan tidak pernah meninggalkanku.

Tetapi, siapa dia?

Air mata terus mengalir seolah setiap satu butir yang jatuh terkandung setiap masalah yang kutanggung.

Mengharapkan semakin banyak yang mengalir keluar, maka semakin banyak masalah yang akan pergi … tetapi itu hanyalah anggapanku.

Tangisan hanya mampu melegakan perasaan buat seketika cuma, namun masalah tidak mampu selesai hanya dengan melepaskan tangis hiba semata.

Aku menoleh ke sisi kananku. Tiada siapa, cuma aku sendiri.

Kawan… kawan ketawa itu ramai, tetapi kawan menangis?

Aku terfikir sendiri, terbayang memori gelak tawaku bersama teman, tapi kini… aku sendiri berduka keseorangan.

Tiada tempat berpaut saat diri jatuh dalam kedukaan.

Tiada yang menghulur tangan menyambut saat aku jatuh dalam lembah kekecewaan.

Biarlah, aku yang memilih untuk sendiri. Jauh dari semuanya. Namun, kini aku yang sunyi… mengharap untuk meluah pada sesiapa. Tetapi tiada…

Aku menoleh ke sisi kiriku. Aku mula aneh tatkala melihat ada sekeping coklat Kit Kat bersama nota kecil berwarna biru.

“Eh… sejak bila pulak ada benda ni kat sini. Tadi tak perasan pun. Ada orang tinggal ke?”

Aku segera mengambil Kit Kat tersebut.

“Eh, ada namaku tertulis di hadapan nota kertas ini. Untuk aku ke?” Bicaraku sendiri. Aku segera membuka dan membacanya.

**********

….Buat gadis comel yang sedang berduka,

“Tuhanmu tidak pernah meninggalkanmu dan tidak juga membencimu.” (Surah Dhuha: ayat 3)

Saat kau merasa sendiri, kau masih punya Allah… saat kau perlukan seseorang di sisi, ingatlah kau ada Allah.

Saat kau ingin mengadu meluahkan rasa, Allah ada dan setia untuk mendengarmu. Saat kau merasa kekurangan, Allah itu sudah lebih daripada cukup.

Saat kau merasa semuanya menjauh daripada kamu, Allah tidah pernah menjauhi apatah lagi meninggalkanmu. Dia kan tetap di sisi, setia menemani… cuma kau sahaja tidak menyedari.

Kau diuji untuk dibawa kembali… kembali pada Allah. Kerana ujian itu hadiah daripada Tuhan, Penguji kekuatan iman, sebagai medan mentarbiah diri, jua tanda cinta dan kasih daripada Illahi.

Wipe your tears and keep smiling

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nur Izzati Binti Zahariman. Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Sedang mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian di UPSI. Ikuti perkembangan beliau di Facebook Nur Izzati Zahariman.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

5 points
Upvote Downvote

Total votes: 5

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%