,

Allah Ciptakan Kita Bukan Saja-saja

Allah menciptakan manusia di dunia ini, bukan saja-saja, malah Allah ingin menjadikan manusia abid dan khalifah di alam semesta ini. Yang mengharmonikan alam ini dengan kebaikan.

Sebelum kita dijadikan di alam rahim, kita bukanlah siapa-siapa, malahan ‘we are nothing’.

Tetapi akan rahmat dan kasih sayang Allah, diciptakan kita sebagai sebaik-baik makhluk di bumi.

Sebagai manusia yang mengaku diri kita beriman, kita akan berhadapan dengan pelbagai ujian. Ujian ketakutan, kelaparan, kegagalan dan banyak lagi.

Kegagalan hari ini tidak bermakna kita akan gagal buat selamanya.

Jika hari ini kita gagal peperiksaan, mungkin esok kita antara ‘top student’.

Jika hari ini kita gagal dalam sebuah perkahwinan, mungkin esok Allah hadirkan suami yang lebih soleh.

Jika hari ini kita gagal dengan pelbagai perkara, yakinlah Allah jadikan sesuatu itu bersebab. Untuk kita merenung kembali, betapa kegagalan bukanlah asbab untuk kita  jatuh.

Malah sejak di alam rahim lagi kita antara hamba Allah yang berjaya, di mana berjuta-juta sel sperma yang ingin menuju ke ovum, dan kita antara sel sperma yang berjaya menembusi ovum itu,dan akhirnya membentuk menjadi seorang manusia.

Di situlah titik permulaan kejayaan kita.

Allah sendiri menyeru kita supaya menuju kejayaan, di mana setiap kali waktu azan dilaungkan ayat “hayya ‘alal falah’, yang bermaksud  marilah menuju kejayaan.

Setelah azan berkumandang, bersegeralah untuk menunaikan solat di awal waktu, itu antara tanda-tanda orang yang berjaya.

Jika kita gagal untuk solat di awal waktu, pasti akan berlaku lagi kegagalan seterusnya. Mungkin antaranya doa kita akan lambat dimakbulkan Allah, kerana kita sendiri lewat untuk menunaikan hak Allah.

Hari ini kita dapat melihat, begitu ramai yang berjaya menggenggam segulung ijazah, sarjana atau doktor falsafah, tetapi adakah itu kejayaan yang sebenar?

Kejayaan yang sebenar adalah dengan kita mempunyai akhlak yang mantap, serta dapat memasuki syurga Allah dengan gembiranya.

Itulah kejayaan yang paling  hakiki.

Jadi sekiranya banyak perkara yang kita gagal sekarang, ambillah masa untuk memeriksa diri dan bermuhasabah, adakah kegagalan kita hari ini, memberi kesan kepada hari akhirat kita, kerna pertemuan dengan Allah di kala Allah senyum menyambut kehadiran kita.

Itulah kejayaan yang sebenar.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Syaahidah binti Salim. Berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan lulusan ijazah bioperubatan di Management Science University (MSU).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%