,

Aku Tak Tutup Aurat Tapi Aku Jaga Solat. Boleh ke?

Antara mengerjakan solat dan juga menutup aurat yang mana lagi penting?

Adakah tidak menutup aurat tetapi menjaga solat lebih baik berbanding menutup aurat tetapi tidak solat?

Ada sebahagian antara mereka yang mendakwa bahawa:

“Walaupun saya tidak bertudung tetapi saya amat menjaga solat.”

Tahniah untuk mereka yang dapat menjaga solat dalam apa jua keadaan. Namun yang menjadi persoalan adalah kenapa orang yang menjaga solat tetapi dalam masa yang sama tidak menutup aurat dengan sempurna?

“Solat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”

Di dalam Al-Quran, Allah menegaskan bahawa sesiapa yang mengerjakan solat, maka solat itu yang akan menjaganya daripada melakukan perbuatan yang Allah larang.

Jika dia tidak menutup aurat tetapi menjaga solat, InshaAllah lama-kelamaan solat itu akan menjadi penyebab untuknya menutup aurat dengan sempurna.

Solat yang ikhlas akan menghasilkan seseorang yang gerun untuk melakukan dosa kepada Allah.

Solat yang ikhlas juga akan menjadi benteng kepada kita daripada melakukan maksiat kepada Allah.

Solat yang hakiki akan menjadi penyebab untuk kita terbuka hati untuk menutup aurat dengan sempurna.

Tetapi jika dia berterusan tetap mendedahkan aurat dan dalam masa yang sama menunaikan solat?

Ini bermakna solat dia bermasalah!

Dan solusinya adalah dia harus memperbaiki solatnya dan membuktikan bahawa solat itu benar-benar sebuah ketaatan dan bukan sekadar kosong tanpa isi dan tidak memberi apa-apa kesan kepada dia yang mengerjakan solat.

Pada pandangan agama, orang yang menutup aurat tetapi tidak solat sama sahaja dengan orang yang solat tetapi tidak menutup aurat!

Kedua-duanya melakukan dosa kepada Allah dan setiap perbuatan dosa akan diminta pertanggungjawaban oleh Allah di akhirat kelak.

Oleh itu, kita sebagai hamba Allah dan juga seorang Muslim seharusnya sentiasa memperbaiki solat kita dan juga pada masa yang sama kita wajib mematuhi perintah-perintah Allah yang lain termasuklah menutup aurat dengan sempurna.

“Sesiapa yang memperbaiki solatnya bererti dia memperbaiki kehidupannya.”

Sama-sama kita menginsafi diri bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba. Tiada sesiapa yang dapat menjamin bahawa dia akan hidup pada keesokan harinya.

Oleh itu, janganlah memberi beribu alasan dan bertangguh untuk berhijrah ke arah kebaikan.

Semoga Allah membantu kita untuk segera berubah dan berusaha untuk ikhlas dalam setiap amalan kita.

Wallahu a’lam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Asyirah binti Mohd Sauti. Berasal dari Bachok, Kelantan. Merupakan pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda farmasi di UKM.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%