,

Aku Penat, Tapi Aku Harus Tetap Berlari

RASULULLAH adalah antara insan yang tidak mengenal erti putus asa. Sekalipun dihujani dengan pelbagai ujian, tohmahan serta penolakan daripada manusia sekeliling, Baginda tetap teguh membimbing manusia daripada gelap menuju cahaya.

Kita adalah bukti bahawa perjalanan ini sentiasa merentas perjalanan masa. Bermula daripada tidak ada menjadi ada, tidak tahu menjadi tahu, tidak nampak menjadi nampak. Bukankah semua ini proses kehidupan yang seringkali kita anggap biasa ?

Di sebalik wujudnya kita, siapa yang menjadikan kita ada? siapa yang mengurniakan kelebihan pancaindera? siapa yang mewujudkan akan adanya pengetahuan?

Yakni Allah, Tuhan yang menciptakan. Yang menghidupkan dan mematikan. Yang mengambil dan memberi. Yang ada sebelum adanya segala yang ada.

Jika kita menciptakan sesuatu, sudah tentu isinya apa yang kita mahu. Kita mahu rasanya bagaimana, bentuknya bagaimana, dan adunan-adunan itu hanya menurut. Ditolak ke kiri maka ia ke kiri, ditolak ke atas maka ia ke atas.

Begitu juga hidup ini, tidaklah Allah menjadikan setiap yang ada itu dalam keadaan yang sia-sia. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Mukminun ayat 115 yang bermaksud:

Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?

Bahkan di sebalik anggota yang boleh digerakkan, mata yang mampu melihat, telinga yang berupaya untuk mendengar, selagi jantung masih berdegup, selagi hati masih mampu menilai, selagi akal kita masih waras maka sebenarnya kita sedang menanggung satu tanggungjawab sejurus kita lahir ke dunia.

Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 104 yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”

Dan juga firman Allah dalam surah al-Imran ayat 110 yang bermaksud:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma`ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.”

Dan tidak lupa satu lagi tugasan penting seorang hamba yang dirakamkan Allah dalam surah adz-Dzaariyat ayat 56 yang bermaksud:

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaku.”

Sebagai seorang yang bergelar Muslim, maka kebergantungan kita seharusnya bahkan tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata kepada Allah pemilik segala yang ada di langit dan di bumi.

Bermula daripada Nabi Adam sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad S.A.W., seruan yang dibawa tidak lain dan tidak bukan hanyalah menyeru untuk beriman kepada Allah supaya manusia di setiap zaman berpegang kepada tauhid yang satu.

Tidak dinafikan, dalam keadaan kita menyeru kepada maaruf dan mencegah yang mungkar, kita akan mendapat tentangan daripada manusia.

Bahkan ini bukan perkara yang pelik kerana orang yang paling perit dan pedih penentangan terhadapnya adalah para Anbiya’.

Jika ditelusuri kisah perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. sendiri, Baginda bahkan dianggap gila, dipulaukan, dimusuhi hanya kerana membawa risalah Islam.

Sedangkan sebelum baginda diangkat menjadi Rasul, Baginda orang yang disayangi serta diiktiraf oleh keluarganya sebagai seorang yang jujur dan amanah.

Selain penentangan luaran, tidak kurang juga penentangan dan pemberontakan dari dalam diri kita sendiri seperti rasa malas, rasa putus asa dan kecewa bila apa yang kita lakukan kelihatannya tidak menjadi.

Dalam dunia dakwah, tiada kayu ukur yang benar-benar utuh untuk kita ambil dan menilai keberkesanannya.

Jika diukur berjayanya dakwah dengan ramainya pengikut, maka bagaimana pula keadaannya dengan para Rasul dan Anbiya’ yang berdakwah beratus atau berpuluh tahun namun sedikit sahaja yang menyambut seruan tersebut?

Antara silap kita, bila kita menasihati kita mengharap ia terus diterima. Kita terus mendabik dada dan menyatakan, ‘Atas usahaku dia berubah.’ Ini satu kesilapan yang besar, sandaran hidayah dan segala bentuk petunjuk itu seharusnya disandarkan kepada Allah semata-mata.

Lihat bagaimana Nabi S.A.W. yang berusaha memujuk bapa saudara kesayangan baginda Abu Talib supaya memeluk Islam, sehingga turunnya ayat daripada Allah dalam surah al-Qasas ayat 56 yang bermaksud:

“Sesungguhnya kau takkan dapat memberi hidayah pada orang yang kau sayangi, tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.”

Dalam usaha menyeru kepada makruf dan mencegah yang mungkar, kita harus terus berjalan. Memang kerja ini bukan mudah, menulis sebegini di sebalik tabir lalu disiarkan di alam maya juga bukan mudah.

Apatah lagi untuk turun dan keluar dari zon selesa mendekati golongan yang semakin jauh dan tiada yang sudi membimbing.

Teringat akan satu ayat daripada status sahabat saya, “Kita selalu dengar ambil yang jernih buang yang keruh, tapi jarang kita dengar ambil yang jernih dan jernihkan yang keruh”.

Dalam gerak kerja melaksanakan kerja dakwah, ada waktu kaki akan tersadung dek cemuhan, ada waktu hati akan remuk dek cacian dan hinaan dan tidak kurang juga masalah diri sendiri yang makin lalai sehingga merasa terbeban untuk terus berlari.

Semoga penatmu berbaloi, kepenatan hari ini hanya secebis jika dibandingkan dengan usaha Nabi dan para sahabat. Berkat hammasah (semangat kesungguhan) mereka dan sikap tidak pernah berputus asa, kita dapat merasai indahnya bernafas dengan iman dan Islam.

Semoga langkah kita terus dihayun, walau penat dan lelah sentiasa cuba untuk menang, moga semangat dan keinginan untuk menyeru kepada yang benar kekal juara di akhir pergelutan emosi.

Siiru ‘ala baarakatillah.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Syarifah Nurul Baiti binti Sayed Mustapha. Berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

2 points
Upvote Downvote

Total votes: 2

Upvotes: 2

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%