,

“Ada Gereja Sanggup Bantu Asalkan Pak Cik Murtad…” Ini Reaksinya

Malam itu, kami ditemani rintik-rintik hujan yang sesekali memberi dingin. Suasana malam sekitar Masjid Jamek masih lagi riuh.

Jalannya pula sesak dipenuhi kereta-kereta yang seakan sudah menjadi lumrah untuk mereka yang tinggal di kota besar Kuala Lumpur.

“FEED THE HOMELESS”
WE SHARE WHAT WE HAVE

Malam itu bermulah misi “Feed The Homeless” aku di kota Kuala Lumpur .

Kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan diberi satu kotak yang berisi makanan dan minuman untuk diedarkan kepada gelandangan di sekitar kawasan Masjid Jamek.

Jiwa sudah tidak sabar menanti, kerana ini merupakan pengalaman pertama aku berjumpa dengan para gelandangan.

Sebelum ini, aku hanya melihat mereka saat melintasi laluan-laluan pejalan kaki di Sogo dan Masjid India.

Namun hari ini berbeza sekali, kami bahkan diberi peluang untuk merapati dan berkongsi kisah dengan mereka.

Yup, pengalaman yang tidak mungkin aku dapatkan di tempat lain.

Sepanjang perjalanan, aku dilihatkan dengan masyarakat marhaen yang sedang terbaring di kaki-kaki lima bangunan. Ada yang masih muda dan tidak kurang ramainya warga ’emas’ yang aku temui.

Mereka tidak berumah, apatah lagi punya harta. Yang menemani malam mereka cumalah sekeping kotak yang dijadikan alas tidur dan makanan-makanan sebagai alas perut.

Itupun atas ehsan para NGO yang melewati kawasan tersebut.

Rumah mereka tidak berbumbung. Tidak juga berpintu. Cuma berlapikkan bumi dan beratapkan langit malam.

Terkadang rasa sayu menghambat jiwa. Entah mengapa dalam susah yang mereka tempuhi, tetap jua senyuman yang mereka kasi.

“ Adik, ada makanan lagi untuk pak cik tak?” Ada suara yang menyapaku dari belakang.

“Minta maaf sangat pak cik. Makanan dah habis diedarkan. Takpa kalau pak cik nak, saya boleh minta daripada kawan saya.”

Melihat kedut wajah pak cik yang kelaparan, aku lantas berlari mendapatkan lebihan makanan daripada kumpulan lain.

“Alhamdulilah. Ini pak cik. Mujur ada lebihan roti dan air minuman kotak untuk pak cik.”

Pemberianku dibalas dengan senyuman ikhlas pada wajahnya. Aku bahkan tenang melihat senyum yang pak cik ukirkan.

Uncle Lim. Atau nama barunya, Abdullah Lim. Saudara yang masih baru menganut Islam. Dia temukan cintanya pada Islam lebih kurang dua bulan yang lalu.

Kisah perjalanan hidupnya menuju Hidayah Tuhan seringkali memberi ingat kepadaku tentang hakikat seorang hamba kepada Tuhannya.

Tentang patuh seorang manusia kepada Penciptanya. Mengajar aku tentang erti syukur, yang sering kita lupakan.

Kisah kehidupan Uncle Lim seringkali memberi duka. Dia dibuang keluarga hanya kerana dia memilih untuk menerima Islam.

Yang lebih malang, isterinya bahkan anak-anaknya juga tidak menerima baik kisah penghijrahan Uncle Lim.

Kata Uncle Lim, dia juga pernah diugut bunuh oleh ahli keluarganya sendiri hanya kerana dia memilih untuk menjadi yang lebih baik.

Family pak cik ni kira orang kuat agama. Jadi diorang malu bila dapat tahu pak cik nak convert Islam.”

Episod duka Uncle Lim bermula selepas dia dibuang keluarga. Dia seakan hilang tempat bergantung. Terumbang-ambing di bumi sendiri.

Sehingga ada suatu ketika, dia hampir berputus asa dalam perjuangannya. Didesak pula oleh orang sekeliling yang menyatakan penghijrahannya kepada Islam hanyalah suatu perkara yang sia-sia.

“Tipulah kalau pak cik kata tak penat. Ada gereja yang sanggup bantu sara pak cik seumur hidup asalkan pak cik murtad. Tapi tulah, pak cik masih bersyukur kerana Allah masih beri pak cik kekuatan sampai sekarang.”

Dalam lumrah perjuangan, pasti akan ada naik dan turunnya. Akan ada suatu masa kita beroleh kekuatan yang datang dari segenap sudut.

Begitu jugalah saat Tuhan memilih untuk menguji kita. Segala yang menjadi sumber kekuatan buat kita bahkan tidak terlihat. Yang hingga suatu saat, akan membuat kita tertarik jauh menghampiri lembah kekecewaan.

Waktu itulah perjuangan sebenar baru bermula. Memilih untuk jatuh atau bangkit daripada kecewa. Dan saat itu juga kita bahkan sedar, tentang hakikat sebenar hidup berTuhan.

Seperti kisah Uncle Lim yang hampir pernah kecundang di pertengahan.

Namun kerana kasih Tuhan yang belum terhenti, Allah temukan Uncle Lim dengan seorang ustaz yang tak pernah jemu membimbingnya untuk lebih mengenal Islam.

Waktu paginya, Unlce Lim bekerja sebagai penjaga parking kereta di sebuah pasaraya di ibu kota.

Gaji yang tidaklah begitu lumayan, ditambah dengan keperitan kos sara hidup yang tinggi di sini, membuatkan Unlce Lim lebih selesa berteduh di kaki-kaki lima banggunan bersama gelandangan yang lain.

Waktu malamnya disibukkan untuk menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di Masjid Jamek untuk dia lebih mengenali Islam. Begitulah rutin hidupnya yang masih tersisa dihabiskan.

Dia seorang saudara baru Islam, juga sebagai gelandangan yang disisihkan keluarga, hanya kerana dia memilih untuk hidup bersyariat.

“Islam itu pak cik lihat suatu agama yang indah. Walaupun keluarga pak cik tak boleh terima, pak cik masih bersyukur kerana Allah masih menerima pak cik seadanya. Harapan pak cik, satu hari nanti mereka akan menerima Islam seperti mana pak cik menerimanya.”

Lampu-lampu kedai sudah mulai terpadam. Ada gelandangan yang sudah hanyut dibuai mimpi. Ada yang masih berkeliaran mencari sesuap nasi.

Dan aku, masih duduk tercegat mendengar kisah Uncle Lim. Entah mengapa, kisah-kisah yang diceritakannya terkadang mengusik jiwa lelakiku. Sehingga tanpa sedar, air mataku mulai mengalir.

“Islam itu sendiri kekuatan buat pak cik. Yang pak cik harapkan cuma satu. Supaya nikmat Tuhan yang satu ini tidak ditarik jauh daripada pak cik. Moga Allah mengizinkan pak cik untuk berada dalam agamanya.”

Di akhir perbualan kami, Uncle Lim sempat berseloroh,

“Ramadhan kan bulan depan? Pak cik pun dah mula practice puasa. Kadang-kadang penuh, kadang-kadang belum sampai Zohor pak cik dah K.O. Kamu doakanlah ya, semoga pak cik kuat dengan jalan ni.” Dia mengukir senyum kepadaku.

Senyum yang sering memberi damai dan tenteram dalam jiwa .

Aku membalas senyumannya seraya berkata,

“Terima kasih pak cik sebab sudi share kisah pak cik dengan saya. InsyaAllah, saya doakan pak cik sentiasa kuat dengan jalan ni. Insyallah.”

******

Kisah pak cik Lim telah membuka luas mataku untuk melihat hakikat kehidupan. Tentang banyaknya perjuangan yang masih tergantung di luar sana. Dan tentang perjuangan yang harus segera aku tuntaskan.

Kisah pak cik Lim yang lebih memilih Islam, sehingga rela dipersia oleh mereka yang tercinta.

Namun, kerana yakin dan pasti yang wujud di dalam hati, kekuatan yang dipinjam Tuhan terus terberi, tanpa pernah terhenti.

Kerana…

Kehidupan itu tentang bagaimana manusia belajar untuk menghargai dalam setiap hal. Yang dengan itu akan melahirkan rasa syukur dalam diri.

Kerana…

Kehidupan itu tentang kekuatan yang terpinjam, yang lahir daripada keperitan yang sering mencengkam.

Kerana…

Kehidupan itu suatu amanah. Yang Tuhan pinjamkan bukan untuk dipersiakan

 

Catatan 12 Mei 2016

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Sabirrin bin Md Zahar. Berasal dari Tanjung Malim, Perak. Merupakan mahasiswa bidang bioperubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ia merupakan salah satu daripada artikel yang menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam 1.0 (PPii1) – klik di sini untuk menyertai PPii1.

What do you think?

9 points
Upvote Downvote

Total votes: 11

Upvotes: 10

Upvotes percentage: 90.909091%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 9.090909%