, ,

5 Wanita Dambaan Syurga

Apabila kita membaca kisah inspirasi 5 wanita solehah dambaan Syurga, kita akan mudah terinspirasi untuk mencontohi mereka dan menjadikan mereka sebagai role model.

Betapa hebatnya mereka di sisi Allah dan juga betapa hebatnya wanita yang berusaha mencontohi mereka kerana pada zaman yang serba mencabar ini, mereka akan kelihatan asing.

“Islam datang dalam keadaan asing dan berakhir dalam keadaan asing maka beruntunglah mereka yang asing.”

Seorang ilmuan agama mengatakan bahawa kebanyakan anak-anak dan remaja sekarang sangat mengagumi para model dan artis di TV dan media sosial sehinggakan mereka melupakan Fatimah Az-Zahra.

Ramai para model sekarang adalah wanita sedangkan pada zaman Rasulullah, Baginda sangat menjaga kehormatan dan kesucian wanita.

Berbalik kepada 5 wanita dambaan Syurga, wanita hebat sepanjang zaman… nama mereka disanjung dan terus kekal disebut.

Walaupun tanpa pernah kita kenal dan tanpa pernah bertemu, namun terasa dekat di hati dan kita hanya mampu berharap agar bisa bertemu suatu hari nanti dengan izin Allah.

Empunya nama hebat yang dicemburui para bidadari syurga iaitu Khadijah, Fatimah, Aisyah, Maryam dan Asiah.

Contohi keikhlasan daripada Aisyah,
Belajar kesucian daripada Maryam,
Pelajari ketabahan daripada Fatimah,
Teladani kesetiaan daripada Khadijah,
Ambil pengajaran kesabaran daripada Asiah.

 

Khadijah

Peribadi dirinya sehebat namanya. Bukan calang-calang wanita mampu bergelar isteri kepada manusia agung Rasulullah SAW. Ibu kepada seluruh umat Islam, insan teristimewa dalam hidup Rasulullah SAW.

Khadijah yang pada mulanya seorang hartawan daripada kalangan bangsawan akan tetapi kerana cintanya kepada Islam, Beliau sanggup mengorbankan segalanya.

Beliau wanita pertama menerima Islam… beliau setia menenangkan Rasulullah saat Rasulullah ketakutan menerima wahyu… beliau setia bersama Rasulullah saat keluarga Baginda diboikot dan dipulaukan.

Beliau setia membenarkan kata-kata Rasulullah di saat ramai orang mendustakan Rasulullah. Beliau isteri yang hebat… ibu yang penyayang… businesswomen yang berjaya… hartawan dan dermawan.

Kesetiaannya hanya untuk ALLAH, Rasulullah dan ISLAM!

 

Fatimah

Fatimah binti Muhammad, nama yang teristimewa dalam hidup Rasulullah. Beliau merupakan anak kesayangan Rasulullah. Barangsiapa menyakiti Fatimah bererti menyakiti Rasulullah.

Tutur kata dan peribadinya persis Rasulullah kerana beliau mendapat tarbiyah secara langsung daripada ayahnya.

Beliau yang setia di sisi ayahnya, menangis melihat penyeksaan kepada ayahnya, membersihkan pakaian ayahnya daripada najis yang dilemparkan oleh musyrikin Quraisy, menjaga dan memuliakan ayahnya.

Fatimah pernah meminta kepada ayahnya untuk diberikan seorang pembantu tetapi Rasulullah tidak memberikan kerana Baginda tidak ingin memanjakan Fatimah. Justeru Baginda mengajarkan zikir untuk menguatkan Fatimah.

Saat menjelang kewafatan Rasulullah, merupakan saat yang paling sukar buat Fatimah. Beliau setia di sisi ayahnya dan menangis kesedihan kerana Rasulullah akan wafat.

Tetapi dia bergembira apabila mengetahui bahawa dia adalah orang pertama yang akan menyusul untuk menemui Rasulullah di Syurga. Fatimah merupakan ketua wanita Syurga.

Beliau melahirkan pemuda Syurga iaitu Hassan dan Husain dan suaminya, Saidina Ali adalah antara 10 orang sahabat yang dijamin Syurga.

Fatimah memilih untuk tabah demi ALLAH, Rasulullah dan Islam!

Aisyah

Beliau adalah kesayangan Rasulullah. Beliau adalah penghafaz Al-Quran. Rasulullah menghembuskan nafas terakhir di atas riba beliau.

Beliau adalah Ummu Mukminin, Aisyah binti Abu Bakar isteri Rasulullah SAW. Aisyah merupakan pesona yang begitu hebat digandingkan dengan insan mulia Rasulullah SAW. Aisyah adalah contoh teladan terbaik bagi setiap wanita muslimah kerana beliau memiliki pakej yang lengkap.

Aisyah sangat menjaga kehormatan dirinya dan ketika berlakunya fitnah antara beliau dengan salah seorang sahabat, beliau berserah diri hanya kepada Allah.

Ketika Rasulullah mendiamkan diri kerana kejadian fitnah tersebut, Allah membersihkan nama Aisyah melalui penurunan ayat Al-Quran dan terbukti Aisyah tidak bersalah.

Wanita yang bijaksana dan berilmu pengetahuan, pada masa yang sama hebat dalam menjaga hubungannya dengan Allah.

Hidup Saidatina Aisyah hanyalah untuk ALLAH, Rasulullah dan Islam!

 

Maryam

Isteri Imran, Hannah menginginkan anak di dalam kandungannya mengabdikan diri kepada ALLAH sekiranya anak yang dilahirkan itu adalah lelaki. Akan tetapi Hannah melahirkan anak perempuan dan beliau berkata, “Anak perempuan tidak akan sama dengan anak lelaki.”

ALLAH Maha Mengetahui apa yang terbaik dan ALLAH menganugerahkan Imran dan Hannah anak perempuan yang diberi nama Maryam AS. Maryam AS dipilih oleh ALLAH untuk diberikan seorang anak yang soleh.

“Bagaimana aku akan mendapat seorang anak?”

“Jika ALLAH berkehendak sesuatu, maka kun fayakun.”

Maka Maryam melahirkan seorang bayi lelaki yang diberi nama Isa ibnu Maryam yang merupakan seorang nabi yang diberi kelebihan oleh ALLAH di dunia dan akhirat.

Maryam membawa bayinya kepada penduduk kampung dan menerima pelbagai kutukan dan hinaan. Sikap tawakal Maryam sangat tinggi kepada ALLAH SWT.

“Jika ini semua untuk ALLAH, maka aku tidak peduli dengan hinaan dan cacian.”

Ketika Maryam berharap supaya dia akan dilupakan, ALLAH berkehendakkan supaya beliau menjadi legend untuk umat baik lelaki dan perempuan. Dan Maryam dikenali sehingga hari ini.

 

Asiah

Beliau yang memelihara Nabi Musa ketika masih bayi ibarat ibu kandung yang kedua. Beliau yang tinggal bersama seorang lelaki yang mendakwa dirinya adalah Tuhan.

Beliau adalah permaisuri Firaun dan beliau mempunyai segala perhiasan dunia tetapi lebih rela memilih IMAN dan ISLAM. Asiah beriman kepada ALLAH dan Nabi Musa AS.

Apabila Firaun mendapat tahu, Firaun menyeksa Asiah sehingga ke paras maksimum supaya Asiah meninggalkan Islam dan Nabi Musa AS. Tetapi Asiah tetap dengan keimanannya kepada ALLAH.

Ya ALLAH gantikan untukku istana di Syurga.”

Di saat Firaun ingin membunuh Asiah, ALLAH telah mengambil nyawa Asiah tanpa sempat Firaun menyeksanya.

Pada zahirnya fizikal Asiah hancur akan tetapi hakikatnya roh Asiah telah bertemu Sang Pencipta dalam keadaan yang tenang dan bahagia. Asiah mendapatkan ganjaran yang beliau inginkan iaitu istana di Syurga.

**********

Setiap dari mereka, mempunyai kisah hidup dan cerita yang berbeza namun hanya satu yang mengikat mereka iaitu tali Allah, agama Islam.

Walau sesukar mana kehidupan mereka… priority mereka, cinta dan yakin kepada Allah. Semasa hidup mereka memuliakan Allah. Ketika sudah tiada, Allah memuliakan mereka sehinggakan nama mereka kekal disebut sepanjang zaman.

Semoga mereka adalah idola kita para wanita sekalian dalam merebut cinta dan redha ALLAH. Amin.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Nurul Asyirah binti Mohd Sauti. Berasal dari Bachok, Kelantan. Merupakan pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda farmasi di UKM.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%