,

Penat Dekat Dunia, Dekat Akhirat Nanti Kita Rehatlah (bahagian 1)

Sesekali jam di tangan dikerling. Kepala diangkat ditunduk berulang kali. Dari tadi setia memandang skrin pemberitahuan jadual KTM. Mula-mula jam 4.45 tapi tunda jadi 5.30 dan lagi sekali tunda jam 6.45 petang.

Ikutkan hati Wirda nak je dia marathon balik rumah jalan kaki. Tapi Kajang-Sg Buloh bukannya berjiran macam KL Sentral-NU Sentral. Mahu putus urat kaki dia nanti.

Headphone dijatuhkan melilit leher. Buat masa ini suara Skylar Grey pun boleh buat dia rasa nak menyumpah. Sudahlah pagi tadi kereta dia buat hal. Tak pasal kena naik KTM. Sampai office boleh pula bos reject artikel baru dia. Tak pasal juga nak kena buat semula.

Belum cukup itu lagi kad ATM dia hari ini boleh kena telan. Tambah masalah lagi. Senang cakap hari ini memang tunggang-langgang terbalik terpusing hidup dia. Dari pagi sampai ke petang.

Wirda mendengus kasar. Tangan disilangkan rapat ke dada. Kaki dibiarkan menjalar ke depan. Peduli apa dia mengganggu laluan orang.

“Maaf nak, tumpang tanya sekarang pukul berapa ya?” Tiba-tiba ada suara yang menerpa gegendang telinganya.

‘Tengoklah board tu. Buta ke. Tak pun tengoklah handset. Apa yang susah sangatnya,’ bebel Wirda dalam hati.

Wirda angkat muka sambil menoleh ke kirinya. Baru nak naikkan suara tapi elok terpandang wajah tua yang sedang tersenyum manis memandangnya Wirda diam sejenak sebelum menjawab, “Ermm… pukul 6 suku.”

Wirda jatuhkan semula pandangannya pada sneakers birunya. Dapat dirasakan kekosongan tempat di sebelahnya telah diisi.

“Tren pukul berapa ya sampai?” Sekali lagi suara itu bertanya.

“6.45…” pendek Wirda menjawab.

“Lambat lagi,” suara itu membalas.

Wirda sengaja tak cakap apa-apa lagi dah. Tak berminat dia nak menyambung. Nanti sambung-sambung mulalah melarat. Mulalah nak kenal nama apa duduk mana kerja apa itu ini itu ini.

Oh, no no!

Itu bukan Wirda. Wirda bukanlah sejenis ramah-tamah. Wirda diam dan nampaknya makcik di sebelahnya turut diam. Wirda nampak dari ekor mata mak cik di sebelahnya keluarkan sebuah buku kecil.

Tapi yang pasti bukan buku nota sebab Wirda nampak sipi-sipi huruf-huruf jawi. Sayup sampai di telinga Wirda lafaz kalimah bismillah. Hari in gatal pula telinga dia nak mendengar apa yang dibaca mak cik di sebelahnya.

Lama-lama Wirda rasa macam dia tahu je. Macam biasa dengar umi baca. Macam ma… ma… apa ek? Haa mathurat! Selalu kalau umi baca dia rasa bosan je, rasa jemu je. Hari ini boleh pula dia rasa nak dengar.

Rasa semacam. Rasa tenang? Wirda diam membatu. Berlagak buat tak tahu. Sedangkan dalam hati terbuai-buai dia dengar bacaan mak cik di sebelahnya.

“Anak turun stesen mana?”

“Sungai Buloh. Mak cik?” Wirda berbasa-basi bertanya. Sebenarnya dia sendiri pun tak faham macam mana boleh terkeluar ayat itu. Sedangkan dia bukan bangsa-bangsa ramah-tamah.

“Ohh, mak cik turun dululah. Mak cik turun dekat Kepong Sentral. Kerja sini ya?”

“Aah cik,” jawab Wirda pendek.

“Nama anak ni apa?”

“Wirda. Mak Cik?”

Mak cik di sebelahnya mengangguk perlahan, “Wirda. Panggil Mak Cik Sal je. Mak cik cleaner dekat Metro Kajang tu haa.” Mulut Mak Cik Sal dijuihkan sikit ke arah kanannya. \

‘Macam aku tak tahu dekat mana Metro, mak cik ni pun,’ rungut Wirda dalam hati.

Wirda pandang sikit wajah tua Mak Cik Sal. Kalau tak salah perkiraannya lebih kurang umi je. Tiba-tiba ada sayu dalam hati. Tiba-tiba terbayang kalau umi yang terpaksa bekerja membanting tulang di usia emas.

Bukan dia tak nampak tadi Mak Cik Sal mengurut-urut pehanya. Pasti lenguh dan sakit. Maklumlah jadi cleaner bukannya kau duduk goyang kaki keliling mall. Dari satu tingkat ke tingkat lain.

“Lama dah ke mak cik kerja dekat sini?” Entah kenapa Wirda boleh tertanya macam tu. Bibir diketap perlahan.

“Dah 3 tahun mak cik kerja sini. Sebelum ni dekat KL Sentral tu je. Tapi rezeki tak panjang dekat sana. Rezeki mak cik dekat sini pulak. Kerjalah sini,” terang Mak Cik Sal dengan ramahnya.

Ada rasa simpati meluncur dalam hati Wirda. Maklumlah jarak Kajang-Kepong Sentral bukan dekat.

“Jauh jugak tu Kajang-Kepong Sentral. Mak cik tak penat ke? Tak cuba cari yang dekat sikit?”

“Yang jauh boleh kita dekatkan. Penat dekat dunia. Dekat akhirat nanti kita rehatlah. Bukan tak cuba Wirda tapi Allah dah cakap rezeki mak cik di sini. Di sini yang terbaik.”

Wirda angguk kepala perlahan. Jujurnya dia tersentap. Dia yang selama ini berulang-alik dengan kereta pun boleh rasa mengah. Inikan pula Mak Cik Sal yang naik KTM tiap-tiap hari.

Sampai KL Sentral nak kena tukar tren lagi. Tapi langsung dia tak merungut. Wirda yang baru hari ini merasa naik ktm pun tak berhenti menyumpah membebel dalam hati.

“Apa pun yang kita buat kalau diniatkan kerana Allah insyaAllah tak rasa penat tak rasa letih. Allah akan hadirkan rasa seronok dalam hati kita. Tapi pastikan apa yang kita buat tu bukan apa yang Allah tak suka. Bila Allah redha apa pun yang datang susah macam mana pun kita diduga kita tak rasa nak marah-marah. Kita boleh lalui dengan tenang je,” Mak Cik Sal senyum lebar.

 

> bersambung… Penat Dekat Dunia, Dekat Akhirat Nanti Kita Rehatlah (bahagian 2-akhir) <

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Eiyza Rizwa (nama pena).

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

 

What do you think?

7 points
Upvote Downvote

Total votes: 7

Upvotes: 7

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%